
Sunday, August 10, 2008
Jong Pecah, Yu Kenyang?
Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian,
1. Peristiwa pagi sabtu (9 Ogos 2008) di hadapan bangunan Ibu Pejabat Majlis Peguam bukanlah yang pertama dan saya percaya bukan juga yang terakhir. Hakikatnya orang Islam terutamanya Melayu tidak akan membenarkan agama Islam dijadikan bahan perbincangan kontroversi oleh mana-mana pihak di negara ini.
2. Sukar bagi orang Islam di negara ini menerima sebuah persatuan yang dipimpin oleh bukan Islam menganjurkan sebuah forum membincangkan isu memeluk agama Islam di Malaysia. Apatah lagi tujuan penganjuran forum tersebut tampak jelas cenderung untuk memburuk-burukkan isu pemelukan agama Islam.
3. Seperti yang saya tulis dalam beberapa catatan sebelum ini bahawa keputusan Pilihan raya 2008 bukan sahaja memberi kesan yang serius kepada orang Melayu tetapi juga agama Islam. Terdapat kumpulan yang dipimpin oleh bukan Islam seperti Majlis Peguam melihat ini merupakan masa terbaik untuk mencabar status quo agama Islam dan orang Melayu di negara ini.
4. Mereka lupa bahawa sokongan sebahagian orang Melayu dan Islam kepada Pakatan Rakyat bukan bererti menyokong segala perjuangan kesamarataan Pakatan Rakyat. Malahan kita lihat persekongkolan Majlis Peguam dengan PKR dan DAP belum tentu mendapat sokongan Pas.
5. Sungguhpun perkara 11 Perlembagaan dengan jelas menyatakan kebebasan beragama tetapi ia juga menghadkan sebarang usaha-usaha mempertikaikan kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Demikian juga sungguhpun Perkara 10 Perlembagaan memberi kebebasan bercakap dan berhimpun ia tidaklah pula memberi kebebasan tanpa had.
6. Apakah niat Majlis Peguam membuat satu forum terbuka membincangkan tentang Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan yang melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini?
7. Tindakan Majlis Peguam menjemput mereka yang bukan Islam dan menghadapi konflik dengan suami yang memeluk Islam bagi fakta sebelah pihak sahaja menunjukkan ada niat jahat bagi memperlekehkan Islam.
8. Saya tidak menolak sebarang usaha pembaikan undang-undang negara ini. Namun ia bukanlah dengan cara menghentam dan mengkritik secara terbuka. kita sepatutnya mencari persamaan antara kita yang hidup berbeda agama budaya dan bahasa untuk membentuk persefahaman dan tidak mengorbankan perbezaan yang terus menjadi isu sesitiviti antara kita.
9. Majlis Peguam mempunyai pelbagai saluran untuk menyatakan pendapat dan pandangan profesional mereka kepada kerajaan dalam hal-hal yang sensitif. Sebaliknya mereka mencari jalan konfrontasi dan kontroversi.
10. Ini tidak lebih usaha menguji dan mencabar sejauh mana kerajaan dan orang Melayu dapat diperkotak-katikkan pasca pilihan raya umum ke 12. Mereka ingin melihat sejauh mana orang Melayu terutamanya yang terpengaruh dengan ideologi ketuanan rakyat ciptaan PKR sanggup terus melepaskan segala kedudukan agama Islam.
11. Dari peristiwa ini dapat disimpulkan bahawa rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu masih tidak akan bersetuju dgn prinsip kesamarataan yang diperjuangkan oleh pakatan rakyat, malah mengukuhkan andaian ini ialah dgn hadirnya pemimpin mereka sama ada dari PKR mahu pun Pas.
12. Umno akan terus dengan prinsipnya iaitu memperjuangkan prinsip keadilan -meletakkan sesuatu itu ditempat sewajarnya. Islam dan orang Melayu harus diletakkan di tempatnya mengikut perlembagaan negara. Umno akan memperjuangkan agama Islam dan ketuanan Melayu, selagi orang Melayu berada di bawah dan tidak mampu bermain dipadang yang sama dengan bangsa lain. Perjuangan tidak akan berubah, patah sayap bertongkatkan paruh.
13. Apakah persepakatan UMNO dan Pas serta NGO Melayu pada pagi sabtu lalu akan memberi satu isyarat jelas kepada pejuang liberalisme dalam Pakatan Rakyat dan segelintir pemimpin UMNO sendiri?
14. Atau kumpulan itu merasakan mereka sudah kuat dan gagah sehingga suara majoriti orang Melayu dan Islam ini boleh diketepikan?
15. Inilah nasib Islam dan Melayu bila perbezaan ideologi sudah bertukar menjadi dendam dan benci sesama Melayu. Saya khuatir masalah orang Melayu sekarang ini umpama bila jong pecah, maka Yu yang kenyang.
8.12.2008
| [+/-] |
Dr Khir Toyo bersuara lagi...... |
| [+/-] |
Kedudukan Melayu bagai telur di hujung tanduk |

Oleh: Sutradari
Selagi kuasa tertinggi negara ada di tangan Abdullah Badawi, gabungan seluruh Parti politik yang ada sekalipun tidak akan memulihkan negara.
Begitu juga selagi kuasa tertinggi Melayu dipegang oleh Abdullah Badawi, gabungan UMNO-PAS dan seluruh pertubuhan politik dan bukan politik Melayu juga tidak akan membawa apa-apa perubahan. Itulah hakikat yang amat sukar ditelan oleh Abdullah Badawi.
Sukar sungguh dia mengakui bahawa semua permasalahan yang melanda Melayu dan negara hari ini tidak akan terjadi jika dia bukan Perdana Menteri.
Kadar inflasi tidak akan melambung tinggi mendadak jika Abdullah Badawi ini lebih peka dan bijak dalam soal ekonomi dan tidak terlalu mengharap kepada nasihat budak-budak hingusan dari Oxbridge.
Penyokong UMNO tidak akan berpaling tadah jika tidak kerana marahkan Abdullah Badawi.
Penyokong senyap tidak akan memilih untuk tidak keluar mengundi pada PRU yang lepas jika tidak kerana bencikan Abdullah Badawi.
Penyokong UMNO tidak akan marah dan penyokong senyap tidak akan benci kepada Abdullah Badawi jika tidak kerana Kamaluddin-SCOMI atau Khairy-ECM Libra atau Singapura-jambatan bengkok, Pantai Holdings atau Patrick Badawi-Monsoon Cup, Masjid Kristal atau MV Agusta atau percubaan memburukkan Tun Dr. Mahathir.
Penyokong MCA dan MIC juga tidak akan berpaling tadah dari BN jika tidak kerana sebab yang sama.
Rakyat tidak akan hilang kepercayaan kepada kerajaan jika Abdullah Badawi tidak melantik pesalah, perasuah dan mereka-mereka yang ditolak dan kalah bertanding sebagai Menteri Kabinetnya.
Melayu tidak akan lemah jika Abdullah Badawi tidak mendengar cakap minoriti pembangkang untuk merubah sistem kehakiman yang sebenarnya tidak ada cacat cela.
Melayu tidak akan menjadi lemah jika Abdullah Badawi tidak menyebabkan BN lemah sehingga Parti anti Melayu seperti DAP menjadi kuat.
Negara tidak akan berhadapan dengan masalah peribadi Anwar Ibrahim jika Abdullah Badawi tidak melepaskan Anwar sekaligus memberikan bantuan pernafasan kepada PKR.
Anwar Ibrahim tidak akan meliwat lagi atau mengumumkan untuk bertanding di Permatang Pauh hari ini jika Abdullah Badawi tidak melepaskannya.
Nama Malaysia tidak akan buruk di mata pelabur jika tidak kerana rasuah peringkat tertinggi oleh Perdana Menteri Malaysia, anak beranak dan rakan-rakan yang sedia diketahui umum.
Nama Malaysia tidak akan menjadi bahan jenaka jika tidak kerana Abdullah Badawi, Perdana Menterinya yang diketahui dunia sebagai sibodoh kaki tidur.
Pendek kata, semua masalah ini tidak akan wujud dan negara, UMNO serta Melayu tidak akan menjadi begitu lemah jika tidak kerana Abdullah Badawi. Tanpa Abdullah Badawi, rancangan untuk bermuzakarah atau bergabung dengan mana-mana Parti Melayu adalah tidak perlu sama sekali.
Kerana itulah Abdullah Badawi perlu segera disingkirkan. Seminit lagi kuasa ada padanya, selangkah lagilah kita menuju ke arah kemusnahan total.
Kerana itulah juga segala usaha untuk menyatupadukan Melayu, memperkasakan Melayu, mengembalikan kegemilangan Malaysia akan sia-sia selagi kuasa tertinggi masih ada pada manusia yang bernama Abdullah Badawi.
Apapun hujah para pemimpin UMNO untuk mengekalkan Abdullah Badawi sehingga 2010 (jika boleh dipercayai), mereka sebenarnya cuma ada dua pilihan iaitu ‘Kehilangan kuasa sekarang kerana menentang Abdullah Badawi’ lalu mencuba memulihkan UMNO atau ‘Kehilangan kuasa dalam pilihanraya akan datang melalui kekalahan BN’ lalu menghancurkan terus kuasa Melayu.
Pilihan di tangan mereka, samada untuk kehilangan kuasa sekarang atau dalam pilihanraya yang akan datang. Malangnya, mereka nampaknya telah memilih untuk ‘Kehilangan kuasa dalam pilihanraya yang akan datang melalui kekalahan BN’ sekaligus memusnahkan bangsa mereka sendiri.
Untuk itu, tiada kata lagi yang dapat diungkapkan. Terasa begitu hina bangsa Melayu itu kerana pemimpinnya yang keterlaluan gilakan kuasa. Terasa begitu jijik Melayu itu kerana masih berpolitik ketika nyawa bangsa kita kini bagaikan telur dihujung tanduk. Tidak pernah saya merasa hina dan jijik sebegini apabila mengaku diri sebagai Melayu.
Jika dahulu UMNO yang membela Melayu, kini UMNO jugalah yang memusnahkan Melayu. Semuanya kerana Abdullah Badawi yang lemah, tidak berkemampuan, tamak serta tegar tidak mahu berundur.
Seorang tua di kampung saya berkata bahawa Abdullah Badawi telah benar-benar membawa sial dan kecelakaan kepada bangsa dan negara. Tetapi, saya lebih percaya bahawa bangsa Melayu yang sebenarnya membawa sial kepada diri sendiri.
Mungkinkah sial dan kecelakaan ini sebenarnya adalah bala dan pengajaran agar Melayu bangun memperbaiki diri di masa hadapan? Apakah bangsa melayu itu hanya akan mampu memperbaiki diri setelah mereka memusnahkan diri mereka secara secara total? Akan ada lagikah Melayu selepas itu? Jika ada, apakah mereka akan mewarisi sikap tamak haloba, dengki khianat, dendam kesumat serta malas berfikir yang ada pada Melayu hari ini? Apakah mereka akan mengulangi semuanya sekali lagi?


Loading...

