
Kebelakangan ini kita banyak melihat PAS khasnya melalui Dewan Pemudanya sering melakukan protes sama ada terhadap kerajaan negeri milik bersama Pakatan Rakyat mahupun kerajaan yang diterajui BN. Ianya bukan sesuatu yang baru tetapi lebih kerap kebelakangan ini.
Terbaru Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menyerahkan nota bantahan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur berhubung konsert yang melibatkan artis Indonesia kontroversial, Inul, yang dijadual diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 27 Julai ini.
Sebelum itu Pejabat Daerah Johor Bharu telah membatalkan konsert yang sama yang sepatutnya diadakan di daerah tersebut 19 Julai lalu. Khabarnya Dewan Pemuda PAS Johor adalah antara yang terlibat membantah program itu.
Mengapa penting sangat kita membantah acara-acara ini, sebagaimana Dewan Pemuda Selangor merasakan penting membantah konsert Ella dan Mas Idayu di Stadium Shah Alam baru-baru ini?
Sudah pastilah ianya kait-mengait dengan asas dan dasar perjuangan kita. PAS adalah sebuah gerakan Islam dan jelas terpahat kukuh Islam sebagai dasarnya dan Islamlah juga tujuan dan matlamat perjuangannya. Lantaran itu terpikullah atas kepala bahu setiap ahli dan pendukungnya, amanah untuk memastikan yang Islam dalam apa keadaan sekalipun diperjuang, dipertahan dan dipelihara.
Allah SWT berfirman:
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang yang berjaya. (ali Imran: 104)
Lalu dalam hal ini, PAS lah puak itu, dan tindakan PAS melalui Dewan Pemudanya itu merupakan manifestasi dari pegangan ahli-ahli PAS terhadap ayat ini malah seluruh yang dituntut dan diseru serta dijanjikan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan oleh Rasul s.a.w. melalui sunnahnya.
Kerana itu PAS tidak boleh berdiam diri dalam isu-isu kemasyarakatan dan negara khasnya yang melibatkan Islam, nasib dan masa depannya. Isu-isu Islam sama ada yang kecil atau remeh sehinggalah yang besar dan yang berkaitan dengan kenegaraan, hukum dan perundangan akan terus diperjuangkan sebagaimana yang ternukil di dalam perlembagaan parti.
Mungkin ada sesetengah pihak merasakan tindakan PAS membuat bantahan terhadap konsert itu sesuatu yang tidak signifikan. Ternyata mereka ini tidak mengenali PAS. PAS sama ada dalam keadaan ia menang besar atau tinggal satu kerusi parlimen, tanpa satu negeri pun yang ditadbir, tetap konsisten dalam usaha-usahanya. Jika tidak ia seolah menggugurkan prinsip dan dasar perjuangannya yang didukung sejak lebih 50 tahun lalu.
Kerana itu sejarah telah membuktikan PAS, sama ada dalam keadaan bersendirian atau bertahaluf dengan pihak lain, tidak pernah sekali-kali bersetuju atau bersedia menggadaikan prinsipnya kerana kemahuan kawan atau tuntutan kuasa. Dalam apa keadaan pun redha Allah adalah lebih penting dari redha manusia dan populariti. Inilah dasar yang dipertahankan oleh para pengasas kita, membawa ke zaman Almarhum Dr Burhanuddin, Almarhum Prof Zulkifli, sehingga ada yang keluar masuk penjara, tercedera hatta syahid di Memali.
Kerana itu PAS akan terus berjalan sama ada bersendirian atau berkongsi kuasa bagi menerokai jalan untuk memungkinkan Islam mendapat ruang dan peluang untuk dilaksana dan dinobatkan. Sesiapa sahaja yang membuka ruang dan peluang itu akan menjadi rakan PAS dan sesiapa sahaja yang mengekang atau menghalangnya akan ditinggalkan oleh PAS.
Kita mahu melihat 50 tahun berikutnya, PAS menempuh era baru dimana dasar dan perjuangannya diberi pengiktirafan dan dihormati serta diterima oleh semua. Itulah perjuangan kita dahulu dan itulah perjuangan kita insya Allah sampai bila-bila. - tajdid
Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar Presiden PAS.
7.28.2008
| [+/-] |
Roslan Shahir : Komen beliau... |
| [+/-] |
Teka-teki Imam Ghazali |

Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya :
Soalan pertama
Imam Ghazali : Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?
Murid 1 : Orang tua
Murid 2 : Guru
Murid 3 : Teman
Murid 4 : Kaum kerabat
Imam Ghazali : Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati ( Surah Ali-Imran:185) .
Soalan kedua
Imam Ghazali : Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?
Murid 1 : Negeri Cina
Murid 2 : Bulan
Murid 3 : Matahari
Murid 4 : Bintang-bintang
Iman Ghazali : Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, teta! p kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.
Soalan ketiga
Iman Ghazali : Apa yang paling besar didunia ini ?
Murid 1 : Gunung
Murid 2 : Matahari
Murid 3 : Bumi
Imam Ghazali : Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU (Surah Al A’raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka .
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. ” (Surah Al-A’raaf, Ayat 179)
Soalan keempat
Imam Ghazali : Apa yang paling berat didunia ?
Murid 1 : Baja
Murid 2 : Besi
Murid 3 : Gajah
Imam Ghazali : Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah(pemimpin) di duni! a ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia
masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.’
Soalan kelima
Imam Ghazali : Apa yang paling ringan di dunia ini ?
Murid 1 : Kapas
Murid 2 : Angin
Murid 3 : Debu
Murid 4 : Daun-daun
Imam Ghazali : Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat. Na’uzubillahiminzaa lik.
Soalan keenam
Imam Ghazali : Apa yang paling tajam sekali didunia ini ?
Murid- Murid dengan serentak menjawab : Pedang
Imam Ghazali : Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA . Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri
| [+/-] |
Allah tidak beri Permit |

Islam datang menggantikan tempat duduk jahiliyyah di atas muka bumi Allah SWT. Islam datang dengan matlamat mengajak manusia bahkan seluruh makhluk supaya tunduk dan taat hanya kepada Allah. Melaksanakan tanggungjawab dan tugas di atas muka bumi ini dengan maksud berubudiyyah kepada Allah. Berkeluarga, bernikah kahwin kerana ubudiyyah, mengejar sijil ijazah pun untuk mencapai matlamat ubudiyyah, berekonomi, berpolitik, memerintah negara, semuanya adalah kerana ubudiyyah kepada Allah SWT.
Bila Islam datang, maka runtuhlah sekalian binaan jahiliyyah. Semuanya terbina atas ketaatan kepada Allah SWT. Bila sekular lahir di atas muka bumi ini, pejuang dan pendokong sekular berusaha habis-habisan untuk suburkan kembali jahiliyah dan kuburkan Islam. Asalnya sekular itu muncul di barat. Suara asal ajakan sekular itu ialah menyerahkan kuasa memerintah kepada pemimpin dan agama kepada gereja. Sebab sebelum itu, segala keputusan mesti dirujuk dan datangnya dari gereja. Kita tinggalkan dahulu yang ini.
Bilamana musuh Islam nampak faham sekular ini amat berguna untuk hancurkan Islam, maka ianya dipergunakan habis-habisan. Maka dikaderkanlah orang-orang Islam sendiri untuk perjuangkan faham kufur sekular ini (meminjam bahasa kekanda saya Ustaz Zulkifli Ismail Ketua Dewan Ulama’ Melaka).
Sebenarnya, musuh-musuh Islam mahu merungkaikan ikatan Islam dari leher umat Islam. Selagimana agama terikat kukuh di batang leher seorang Muslim dan terus subur dalam jiwa mereka, maka selagi itulah musuh-musuh Islam takkan dapat mengalahkan dan menghancurkan Islam. Sekular adalah satu jenis faham yang mengajak manusia mengasingkan agama dari kehidupan. Agama berada di satu lembah dan kehidupan mesti diletakkan di lembah yang jauh dari agama. Pendek kata, jangan sekali-kali ada pengaruh agama dalam kehidupan. Komunis pula menganggap agama adalah candu yang mneghalang kemajuan. Lebih kurang samalah tu. Kesemua itu jalan-jalan kepada kekufuran belaka.
Rasulullah SAW datang mengikat kembali antara agama dan kehidupan. Agama dijadikan payung kehidupan. Hidup akan jadi kering dan gersang tanpa jiwa agama. Agama menyuburkan, menyegarkan, memanas dan menghangatkan, agama juga mengajak kepada permuafakatan, ketamadunan dan kemajuan duniawi dan kejayaan ukhrawi. Rasulullah SAW telah menghubungkan kembali antara langit dan bumi. Memperkenalkan Khaliq kepada Makhluq ciptaanNya. Ini semua adalah tugas kerja dan peranan agama.
“ Dan Demikianlah kami wahyukan kepadamu wahyu (Al Quran) dengan perintah kami. sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab (Al Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi kami menjadikan Al Quran itu cahaya, yang kami tunjuki dengan dia siapa yang kami kehendaki di antara hamba-hamba kami. dan Sesungguhnya kamu benar- benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.” Surah Asy Syuura : 52
Kerana sebab itulah bilamana gerakan Islam mendapat kuasa pemerintahan, maka bertungkus lumuslah pimpinannya menghidupkan sekolah-sekolah agama. Sanggup berbelanja sampai berpuluh juta demi hidup suburkan institusi pendidikan agama.
Golongan sekular pula sibuk membina masjid tetapi menutup pintu masjid dari hidayah Allah SWT rapat-rapat. Bila ada ulamak mukhlisin kupas isu kehidupan dalam masjid, dikatanya ustaz ini hanya tahu mengata orang. Bila isu politik dikupas di dalam masjid, dikatanya dalam masjid tak boleh cakap politik. Politik suku agama suku.
Dalam isu konsert Inul Daratista, penganjurnya tidak berpuas hati bila DBKL menolak permohonan mengadakan konsert yang dijadualkan malam esok. Pihak berkuasa tempatan memberikan alasan keselamatan. Pihak Polis enggan lepaskan permit kerana keselamatan. Penganjur dipetik sebagai berkata bahawa alasan yang diberikan oleh pihak berkuasa tidak cukup konkrit kerana faktor keselamatan bukan masalah besar yang perlu dibangkitkan. Katanya anggota polis cukup ramai untuk menjaga keselamatan konsert Inul.
Cuba perhatikan betapa berjayanya musuh aqidah Islam mensekularkan si mamat penganjur konsert yang beragama Islam ini. Kalau pihak berkuasa memberikan alasan keselamatan, itu hak mereka. Tetapi yang pastinya, program yang dianjurkan tidak mendapat permit dari Allah SWT. Hilang sudah rasa gerun takut kepada Allah SWT. Hilang sudah pertimbangan iman bila nafsu menguasai. Betapa tidak berfaedah langsung konsert tersebut melainkan menaikkan nafsu syahwat dan mengajak manusia berbuat sesuatu yang melampaui batas kehambaannya. Inilah buah pahit lagi beracun hasil faham sekular yang dianuti pemerintah negara ini sejak merdeka. Kini semua kita merasai padahnya.
Biarlah kita kerugian 500 ribu sekalipun asalkan kita tidak dimurkai Allah. Inul pula menganggap ini adalah ujian dari Allah untuk dia. Yang ini, lagilah memeningkan saya. Macaman saya nak huraikan?
| [+/-] |
Hati-hati bila memilih |

Yakin dengan apa yang diperjuangkan adalah ciri dan prasyarat untuk diangkat sebagai pimpinan dalam sebuah gerakan Islam. Kalau pemimpin sendiri tidak yakin dengan apa yang diperjuangkan, bagaimana pula ahli di bawah?, dan bagaimana pula pemimpin tadi boleh mengemudi perjuangan hingga mencapai matlamat perjuangan.
Sedap kita bercakap kepada ahli di bawah bahawa jalan perjuangan ini sangat jauh, tiba-tiba kita pula tidak sabar dengan jauhnya jalan perjuangan. Kita bersyarah berdetum detam mengatakan bahawa tidak ada jalan perjuangan yang sunyi dari ujian,mehnah dan fitnah, tiba-tiba kita sendiri tidak punya ketahanan dan istiqamah untuk berhadapan dengan sunnah perjuangan.Pelik sungguh.
Bila aqidah menjadi tunjang perjuangan, ianya akan membuahkan keyakinan yang sangat tinggi terhadap apa yang diperjuangkan. Yakinlah dia bahawa tumpas di medan tidak bererti kalah dalam perjuangan. Kerana kemenangan yang hakiki adalah di sisi Allah SWT. Inilah akibatnya bila tarbiyyah diabaikan dan politik diutamakan serta dijulang. Bertembung sahaja program politik dengan program tarbawi maka program tarbiyahlah yang pasti akan menjadi mangsa ditunda, dibatal, kaji semula dan sebagainya. Akhirnya bila berpolitik dengan kosong minda tarbawi maka wujudlah pimpinan sendiri yang tidak yakin terhadap apa yang diperjuangkan. Firman Allah SWT :
“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad diantaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar.” Surah Ali Imran : 142
Lebih mendukacitakan lagi bilamana keraguan terhadap apa yang diperjuangkan oleh si pemimpin ini diluahkan di khalayak sehingga menjadi alat dan diperalatkan oleh musuh. Lebih-lebih lagi pula, dijadikan hujjah oleh musuh untuk menghentam perjuangan Islam yang suci murni. Rupanya bukan dalam UMNO sahaja berlaku kesilapan memilih pemimpin, tetapi dalam PAS pun sama juga. Lebih-lebih lagi yang bersemangat muda ditambah pula dengan tiada pengalaman dalam perjuangan dan sentiasa menganggap diri sudah cukup tarbiyyah dan tidak perlu lagi hadir dalam program-program tarbiyyah.
Saya hairan bagaimana seorang pemimpin boleh bercakap bahawa satu hari nanti PAS tidak akan dipercayai lagi kerana mengkhianati sokongan rakyat terutamanya sokongan bukan Islam. Saya yakin PAS tidak akan khianat selagi ia kekal dengan prinsip Islamnya. Syura Ulamak pasti akan mengambil tanggungjawab besar dalam memelihara hal ini. Kalau Syura pun tidak dipercayai, maka siapa lagi yang kita boleh letakkan kepercayaan?. Persoalan strategi pun adalah di bawah pantauan dan keputusan Syura Ulamak. Kenapa seorang pimpinan boleh bercakap bahawa hanya soal hukum diserahkan kepada Syura Ulamak dan soal strategi diserahkan kepada AJK PAS Pusat?. Bagaimana boleh seorang pimpinan gerakan Islam seperti PAS tidak memahami apa yang dikatakan perlembagaan PAS itu sumber rujukannya adalah Al Quran, As Sunnah, Ijmak dan Qiyas. Kalau soal strategi diserahkan kepada AJK PAS Pusat dan soal hukum kepada Syura maka samalah PAS dengan UMNO dengan prinsip pemisahan politik dan agama yang diadaptasi dari sekular. Kalau kita selalu bercakap dosa rakyat yang undi UMNO dalam pilihanraya kerana mereka akan terus melakukan kezaliman dan menyuburkan dosa maksiat, bagaimana pula dosa ahli yang mengangkat pemimpin gerakan Islam dari kalangan mereka yang masih berbau najis sekular?.
Berbalik kepada khianat kepada sokongan bukan Islam. PAS adalah sebuah gerakan Islam dan Dakwah adalah tunjang kerja buat PAS. PAS ingin berkuasa demi menegakkan Islam. Di samping mahu mengajak dan membuat pendekatan dengan non Muslim untuk menyokong PAS dan terlebih baik lagi jika kita berjaya mengajak mereka beraqidah dengan aqidah tauhid yang murni. Sememangnya teruk jika bukan Islam tidak sokong PAS dalam pilihanraya baru-baru ini, tetapi lebih teruk lagi jika ada tuntutan yang bukan-bukan sehingga kepada peringkat mencabar prinsip aqidah Islam. Sokongan dan tahalluf yang seperti ini tidak menguntungkan Islam. Jangan sampai mereka datang memberi amaran kepada kita agar tidak melaksanakan tanggungjawab ubudiyah kita kepada Allah SWT . Jangan sampai mereka datang membawa amaran dan ugutan bahawa kemenangan yang kita dapat adalah kerana kuasa mereka dan kita mesti tunduk kepada tuntutan mereka.
Sememangnya PAS, PKR dan DAP ada kelemahan. Tetapi takkanlah sama kelemahan PAS dengan kelemahan PKR dan DAP di hadapan seorang pemimpin PAS?. Sememangnya juga ketiga-tiga parti ini saling memperkukuhkan antara satu sama lain. Tetapi PAS mempunyai prinsip dan dasar perjuangan yang jauh berbeza dengan DAP serta PKR. PAS tidak boleh membiarkan ia diperkuda, diperbudakkan dan dibodohkan. Seorang pimpinan dalam PAS wajib mempertahankan kemuliaan perjuangan PAS. Kalau sanggup membiarkan PAS terhina dengan hanya kerana mahu terus dilihat sebagai dapat mempertahankan kepercayaan sokongan bukan Islam, maka ini bukan sikap pimpinan PAS, tetapi lebih layak duduk dalam UMNO.
Di hadapan Allah SWT, kelemahan PAS tetapi masih lagi bertunjangkan aqidah yang benar sudah tentu masih dalam ruang lingkup kasih dan rahmat Allah. Kelemahan dalam PAS adalah tarbiyyah dari Allah. Kita sebagai manusia diajar untuk bersedia menerima kelemahan dan sedia mendengar nasihat. Inilah manisnya berada di dalam sebuah gerakan Islam yang bekerja untuk mencari keredhaan Allah bukannya sokongan manusia semata-mata. Nak buat apa seluruh manusia sokong kita sekalipun dalam keadaan kita dimurkai Allah. Sepertimana kata seorang sahabat saya, bila Karpal Singh marahkan PAS dengan dasar Islamnya, takkan nak suruh pimpinan PAS segera pergi memohon maaf kepada dia?
Kesimpulannya, berhati-hati memilih pemimpin dalam PAS. Jangan kerana petah berkata-kata terus diangkat dan dipilih menjadi pemimpin. Padahnya, kita akan terasa pedih berhadapan dengan pimpinan yang tidak punya keyakinan terhadap apa yang diperjuangkan dan lansung tidak optimis dengan kemenangan Islam adalah kerana jihad dan pengorbanan golongan yang bertaqwa walaupun bilangan mereka itu sedikit sekalipun.
| [+/-] |
Program Galakan Solat Negeri Perak |


Sempena Sambutan ISRA' MI'RAJ 1429H,satu majlis pelancaran bulan GALAKAN SOLAT peringkat Negeri Perak, akan dilancarkan pada 29 Julai,2008 , bertempat di Dataran DBI,Ipoh.
YAB Menteri Besar Perak,Dato' Seri IR Mohammad Nizar Jamaluddin akan menyempurnakan majlis perasmian tersebut.
Orang ramai, Muslimin dan Muslimat dipersilakan hadir menjayakan majlis tersebut sebagai salah satu usaha bersama kita mempertingkatkan lagi Syiar agama Islam.
Bawalah bersama keluarga anda kerana ada artis jemputan yang sensasi menunggu anda disana - Suhaimi & Ina Naim. Jangan lupa bagi tau , Zaki, Rahim , Zainal, Pah Bedah dan kawan-kawan lain!
Loading...