10.15.2008

PAS Sabah Peringatkan Dompok Agar Jangan Campuri Urusan Umat Islam

. 10.15.2008



KOTA KINABALU,–Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah ingin merujuk kepada kenyataan YB Tan Sri Bernard Dompok, Presiden UPKO, merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dalam ucapan dasar beliau yang dibuat pada Perhimpunan UPKO ke 12, di Dewan Kebudayaan Sabah kelmarin.

PAS Sabah beranggapan bahawa ucapan dasar tersebut telah menyinggung sensitiviti umat Islam walaupun Perdana Menteri sebelum ini telah memberi amaran agar tidak ada mana-mana pihak cuba untuk menimbulkan suasana tegang dengan menyentuh isu-isu sensitif khususnya berkaitan agama Islam serta hak untuk memeluk agama Islam.

Sebagai seorang Muslim, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, saya melihat ucapan dasar Tan Sri Bernard Dompok adalah rentetan daripada kejayaan UPKO yang sebelum ini mengugut untuk keluar daripada Barisan Nasional sekiranya kes melibatkan hak kewarganegaraan Puan Yong Lee Hua @Piang Lin tidak dselesaikan mengikut agenda politik UPKO. UPKO akhirnya berjaya dalam ugutannya dan telah memaksa Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Syed Hamid Albar, untuk terbang ke Kota Kinabalu dan dengan serta merta telah memulihkan kewarganegaraan Yong Lee Hua.

UPKO malah telah mendapat kejayaan berganda apabila tuntutannya untuk melihat orang Sabah dilantik ke jawatan Pengarah, Jabatan Pendaftaran Negara, Cawangan Negeri Sabah, telah diluluskan serta merta. Inilah kelemahan, selemah-lemah kelemahan yang dihadapi oleh pemimpin UMNO selepas Pilihanraya Umum ke-12 baru lalu, sehingga terpaksa menunggang-langgang kan peraturan Jabatan Kerajaan untuk kepentingan seorang individu sahaja, demi untuk mempastikan keberadaan UPKO dalam BN.

Menyentuh ucapan dasar Tan Sri Bernard Dompok pada Kongres UPKO kelmarin, saya melihat Tan Sri Bernard Dompok cuba untuk memaksa pemimpin UMNO untuk sekali lagi tunduk kepada desakan agar mana-mana individu Islam yang ingin keluar daripada agama Islam, hendaklah tidak dihalang oleh mana-mana pihak atau badan-badan penguatkuasa. Tan Sri Bernard Dompok juga menyarankan agar pasangan bukan Islam yang telah berkahwin, dan dalam tempoh perkahwinan mereka salah seorang darip[ada suami atau isteri telah memeluk agama Islam, dan jika akhirnya terpaksa berlaku perceraian maka penyelesaiannya hendaklah melalui proses Mahkamah Sivil, dan bukannya Mahkamah Syariah. PAS Sabah menentang sekeras-kerasnya cadangan tersebut kerana seseorang yang telah memeluk agama Islam hendaklah mengemukakan penyelesaian masalah rumahtangga mereka kepada Mahkamah Syariah, bukannya Mahkamah Sivil!!

PAS Sabah juga merasa amat kesal sekali apabila Tan Sri Bernard Dompok cuba untuk membangkitkan isu lama berkaitan Memorandum yang telah dihantar beberapa tahun lalu kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Apakah sebenarnya motif dan agenda Tan Sri Bernard Dompok dalam membangkitan perkara yang telah dianggap selesai ini?? Apakah sebenarnya niat Tan Sri Bernard apabila beliau secara terus terang menafikan yang beliau ada menandatangani Memorandum tersebut?? Saya melihatnya sebagai satu strategi UPKO untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi tempoh berakhirnya era Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Apa yang UPKO cuba lakukan ialah untuk menjadikan isu berkaitan hak memeluk Islam serta kekal dalam Islam bagi saudara baru sebagai bahan ugutan bagi menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pengganti Datuk Seri Abdullah Badawi.

Ertinya, Tan Sri Bernard Dompok akan memberi kata dua kepada Najib..jika mahu sokongan UPKO, beri kebebasan kepada individu Muslim yang mahu tukar agama dan mana-mana pasangan yang mahu bercerai, walaupun salah seorang, isteri atau suami, telah memeluk Islam, maka hendaklah diselesaikan melalui Mahkamah Sivil sebagaimana mulanya perkahwinan mereka didaftarakan di Mahkamah Sivil tersebut.. bukannya Mahkamah Syariah.

Pas Sabah mengutuk sikap membisu para pemimpin UMNO Sabah dalam hal-hal berkaitan isu umat Islam!! Tetapi para pemimpin UMNO cuba menjadi hero dalam membela individu bukan beragama Islam seperti dalam kes melibatkan hak kewarganegaraan tersebut. Inilah sikap talam dua muka dan sikap apologetik para pemimpin UMNO Sabah…demi untuk jawatan dan pangkat!! Mereka biarkan anak di rumah mati kelaparan, tetapi kera di hutan mereka susukan.


HJ. HAMZAH HJ. ABDULLAH
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah.



Jika gentar pada risiko..usah bicara erti perjuangan....

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

 

© Copyright 2007-2008. Nekadislam.Blogspot.Com. All rightsreserved | Nekadislam.Blogspot.Com is proudly powered by Blogger.com | Template by o-om.com