8.12.2008

Dr Khir Toyo bersuara lagi......

. 8.12.2008


Sunday, August 10, 2008
Jong Pecah, Yu Kenyang?
Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers sekalian,

1. Peristiwa pagi sabtu (9 Ogos 2008) di hadapan bangunan Ibu Pejabat Majlis Peguam bukanlah yang pertama dan saya percaya bukan juga yang terakhir. Hakikatnya orang Islam terutamanya Melayu tidak akan membenarkan agama Islam dijadikan bahan perbincangan kontroversi oleh mana-mana pihak di negara ini.

2. Sukar bagi orang Islam di negara ini menerima sebuah persatuan yang dipimpin oleh bukan Islam menganjurkan sebuah forum membincangkan isu memeluk agama Islam di Malaysia. Apatah lagi tujuan penganjuran forum tersebut tampak jelas cenderung untuk memburuk-burukkan isu pemelukan agama Islam.

3. Seperti yang saya tulis dalam beberapa catatan sebelum ini bahawa keputusan Pilihan raya 2008 bukan sahaja memberi kesan yang serius kepada orang Melayu tetapi juga agama Islam. Terdapat kumpulan yang dipimpin oleh bukan Islam seperti Majlis Peguam melihat ini merupakan masa terbaik untuk mencabar status quo agama Islam dan orang Melayu di negara ini.

4. Mereka lupa bahawa sokongan sebahagian orang Melayu dan Islam kepada Pakatan Rakyat bukan bererti menyokong segala perjuangan kesamarataan Pakatan Rakyat. Malahan kita lihat persekongkolan Majlis Peguam dengan PKR dan DAP belum tentu mendapat sokongan Pas.

5. Sungguhpun perkara 11 Perlembagaan dengan jelas menyatakan kebebasan beragama tetapi ia juga menghadkan sebarang usaha-usaha mempertikaikan kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Demikian juga sungguhpun Perkara 10 Perlembagaan memberi kebebasan bercakap dan berhimpun ia tidaklah pula memberi kebebasan tanpa had.

6. Apakah niat Majlis Peguam membuat satu forum terbuka membincangkan tentang Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan yang melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini?

7. Tindakan Majlis Peguam menjemput mereka yang bukan Islam dan menghadapi konflik dengan suami yang memeluk Islam bagi fakta sebelah pihak sahaja menunjukkan ada niat jahat bagi memperlekehkan Islam.

8. Saya tidak menolak sebarang usaha pembaikan undang-undang negara ini. Namun ia bukanlah dengan cara menghentam dan mengkritik secara terbuka. kita sepatutnya mencari persamaan antara kita yang hidup berbeda agama budaya dan bahasa untuk membentuk persefahaman dan tidak mengorbankan perbezaan yang terus menjadi isu sesitiviti antara kita.

9. Majlis Peguam mempunyai pelbagai saluran untuk menyatakan pendapat dan pandangan profesional mereka kepada kerajaan dalam hal-hal yang sensitif. Sebaliknya mereka mencari jalan konfrontasi dan kontroversi.

10. Ini tidak lebih usaha menguji dan mencabar sejauh mana kerajaan dan orang Melayu dapat diperkotak-katikkan pasca pilihan raya umum ke 12. Mereka ingin melihat sejauh mana orang Melayu terutamanya yang terpengaruh dengan ideologi ketuanan rakyat ciptaan PKR sanggup terus melepaskan segala kedudukan agama Islam.

11. Dari peristiwa ini dapat disimpulkan bahawa rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu masih tidak akan bersetuju dgn prinsip kesamarataan yang diperjuangkan oleh pakatan rakyat, malah mengukuhkan andaian ini ialah dgn hadirnya pemimpin mereka sama ada dari PKR mahu pun Pas.

12. Umno akan terus dengan prinsipnya iaitu memperjuangkan prinsip keadilan -meletakkan sesuatu itu ditempat sewajarnya. Islam dan orang Melayu harus diletakkan di tempatnya mengikut perlembagaan negara. Umno akan memperjuangkan agama Islam dan ketuanan Melayu, selagi orang Melayu berada di bawah dan tidak mampu bermain dipadang yang sama dengan bangsa lain. Perjuangan tidak akan berubah, patah sayap bertongkatkan paruh.

13. Apakah persepakatan UMNO dan Pas serta NGO Melayu pada pagi sabtu lalu akan memberi satu isyarat jelas kepada pejuang liberalisme dalam Pakatan Rakyat dan segelintir pemimpin UMNO sendiri?

14. Atau kumpulan itu merasakan mereka sudah kuat dan gagah sehingga suara majoriti orang Melayu dan Islam ini boleh diketepikan?
15. Inilah nasib Islam dan Melayu bila perbezaan ideologi sudah bertukar menjadi dendam dan benci sesama Melayu. Saya khuatir masalah orang Melayu sekarang ini umpama bila jong pecah, maka Yu yang kenyang.


Jika gentar pada risiko..usah bicara erti perjuangan....

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

 

© Copyright 2007-2008. Nekadislam.Blogspot.Com. All rightsreserved | Nekadislam.Blogspot.Com is proudly powered by Blogger.com | Template by o-om.com