Aku mahu berdoa di bawah lembayung langitmu Madinah
Mencium wangian Raudhah tamtama umat
Merasai elus pawana pengorbanan penghuni Perkuburan Baqi
Menyitir lembaran tarikh hijrah nan harum
Suci dengan takrif pengorbanan, merintis kalimah perjuangan, menafaskan ruh ukhuwah.
Di subuh nan bening
Terimbas bayangmu, Rasulullah yang tegar cekal
Dan rafiq akrabmu-Saidina Abu Bakar
Tinggalkan kota penuh kegelapan
Berjejak kembara-hijrah ke kota cahaya
Demi sebuah misi kau tekal
Merentas sahara penuh berani
Dan Ali Karamallahuwajhah, thabat hati di kamarmu
Demi Islam dan Rasul
Aku rela nyawa bergalang-ganti di hujung saif soldadu Quraisy!
Derap-derap kuda Suraqah
Bagai halilintar yang mencemuh
Hadiah dinar merasuk, menujah jahil
Kuda dijerlus pasir- tak mampu mara
Keberkatan mukjizat memasungmu duhai Suraqah
Benarlah! Muhammad ini insan terpilih!
Soldadu Quraisy menyelongkar segenap inci sahara
Bejat amarah membutakan pandangan
Kau dan Abu Bakar diam di bibir gua
Bersama lelabah dan merpati, saksi hijrah Kekasih Allah nan Agung
Lazuardi Yathrib cerah disimbah nur nubuwwah
Kau mujahid, wira buana penyampai wahyu
Cahaya atas cahaya
Penyuluh zulumat yang betah dengan mehnah
Qudwah hasanah, tamsilan insan pilihan
Kejernihan kasihmu mengalir suci di wadi nubari
Kegelandangan umat, kau ilham sebuah tarbiah
Perpecahan Aus Khazraj, kau tautkan tulus ukhuwah
Pada halus sakhsiah, kau figura tunjang umat
Menafaskan pengorbanan di atma Muhajirin
Meniupkan ruhiyyah cinta di kalbu Ansar
Membina teguh sebuah rumah Allah di ardhi Madinah- Masjid Nabawi
Lalu tertegak daulah Islami
Madinah, Kota Cahaya
Hijrahmu mencantas ranting kekufuran
Dalam gharisah perit tribulasi yang terjal
Kau bina sebuah negara berdaulat
Bertunjang wahyu berpaksi syariah
Via keberkatan mukjizat dan hemah budi
Di mimbar sahsiah kau pemimpin daulah yang disegani
Di medan jihad kau perwira yang digeruni
Di halaqah tarbiah kau pendita yang dihormati
Di hati zaujah dan usrah kau insan yang dikasihi
Di atma sahabat kau rafik yang sejati
Dan di jiwa-jiwa kami
Ya Rasulullah…
Kau masih bernafas dalam kejernihan hadith dan sunnahmu
Pengorbanan hijrahmu dan sekalian rafik
Masih menjadi pedoman, inspirasi perjuangan
Sebagai keramat iltizam yang tak usah ditimbang tara lagi di piawai duniawi
Hatta- masih merindu kami pada sebuah hijrah
Dari kebatilan fatamorgana duniawi berhijrah ke wahyu hakiki yang abadi…
Hasil nukilan dari....
Ghafirah Idris
Muharram 1425H
UIA
2.10.2009
ERTI SEBUAH HIJRAH
Webmaster; Ya Allah.... Aku bersaksi tiada tuhan yang disembah melainkan Engkau Ya Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW itu Pesuruh Allah !! Ya Allah jadikan aku ini syahid di sisiMu..
0 comments:
Post a Comment