7.28.2008

Apabila cadangan TGNA diterima

. 7.28.2008



" Pandangan bernas TGNA agar PAS dan UMNO bersatu di bawah panji-panji Islam dengan cara membubar parti masing-masing ternyata mengkelukan lidah dan menyentak urat saraf ramai tokoh politik tanah air, baik pembangkang mahu pun kerajaan. Saranan tersebut walau pun kelihatan semacam gimik politik, tetapi ianya mengandungi makna yang mendalam bagi politik di Malaysia.

TGNA tahu bahawa pandangan beliau agak sukar untuk diterjemahkan kepada kenyataan, tetapi perkara tersebut tidak mustahil berlaku jika Allah menghendakinya. Beliau tentu mempunyai panduan terhadap saranannya itu dengan merujuk kepada al-Quran dan sejarah di mana dua golongan terbesar di Madinah yang tak pernah lekang dengan pemusuhan semenjak sekian lama, tiba-tiba dapat disatu oleh seorang tokoh luar Madinah, iaitu Nabi Muhammad SAW.

Waktu itu tidak siapa pun dapat menduga, termasuk tokoh kemasyarakatan bahawa dua kaum tersebut dapat disatukan di bawah kalimah tauhid yang cukup simple iaitu Lailaha illallah. Natijahnya, suku bangsa Madinah bertukar secara drastik menjadi kuat dan mampu mempertahankan diri dari percubaan musuh luar untuk menggayang Madinah, sebuah kota yang terlalu kerdil pada masa itu. Inilah rahsia besar hasil dari penyatuan Auz dan Khadraj di Madinah sehingga peristiwa yang bersejarah itu dirakam dalam al-Quran untuk panduan generasi manusia hingga kiamat.

Apakah formula yang ditujuk oleh al-Quran itu tidak sesuai diteladani oleh umat Melayu di negara ini jika mereka benar-benar cintakan kekuatan dan kestabilan setelah 50 tahun berpecah? Inilah mesej yang tersirat di sebalik saranan TGNA dari suku sakat bangsawan Raja Jembal itu? Beliau tentunya tidak mengeluar kenyataan tanpa bersandarkan kepada hujah dan nas yang konkrit.

Mungkin bagi golongan nasionalis pekat yang terdiri dari generasi lama sukar menerima formula penyatuan tersebut kerana mereka sudah sebati dengan gaya berfikir cara lama yang terbenam dalam minda mereka. Sebab itulah apabila akhbar mengajukan pertanyaan mengenai perkara tersebut, mereka dengan selamba menjawab: “Belum sampai masanya”, atau “Mustahil perkara tersebut dapat dilakukan”.

Semuanya ini membayangkan bahawa hati kecil mereka tidak bersedia menerima perubahan politik dan lebih rela berada ditakuk lama, walau pun sudah ketinggalan zaman. Namun, bagi generasi baru lain pula pandangan mereka.

Sebenarnya perbezaan antara PAS dan UMNO tidaklah terlalu jauh sehingga menyulitkan usaha penyatuan. Perbezaannya cuma dasar perjuangan yang mana ianya boleh diselesaikan menerusi pindaan kecil dalam perlembagaan parti yang sedia ada kemudian disatukan. Rangka perlembagaan boleh digubal dan diubahsuai sewajarnya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh parti Keadilan dan PRM yang akhirnya berjaya bergabung menjadi PKR.

Ini suatu contoh mudah untuk dijadikan panduan. Kalau dua parti kecil tersebut boleh disatukan, kenapa parti terbesar UMNO-PAS tidak boleh? Takkan cara berfikir pemimpim mereka lebih teruk dari pemimpin parti kecil sehingga tak mampu berfikir kearah kebaikan masa depan bangsa Malaysia?

Pokoknya, cuba tanya golongan akar umbi kedua parti tersebut sanggup lagikah mereka berpecah berterusan dalam politik sampai ke cucu cicit? Sanggupkah mereka bersengketa sehingga mengabaikan tuntutan penyatuan yang digesa oleh syarak, semata kerana mempertahankan ideologi politik?

Sanggupkah mereka mewariskan penderitaan kepada generasi pelapis akan datang dengan kesengsaraan dan penderitaan akibat peluang-peluang ekonomi dan prmbangunan dinafikan terhadap mereka ekoran perbezaan fahaman politik yang berlangsung sepanjang 50 tahun itu?

Soalan-soalan tersebut wajar diajukan untuk mendapat maklum balas dari bangsa Melayu yang semakin terhimpit sekarang.

Seeloknya golongan pelapis UMNO yang bergelar putera dan puteri tidak lagi berfikir sebagaimana makcik dak pakcik dalam UMNO yang berjuang untuk jangka pendek demi untuk mengekal kedudukan mereka semata-mata. Paradigma mereka memang sukar diubah dek karat-karat nasionalime yang terlalu tebal melekat dan melekit dalam jiwa mereka.

Tetapi kamu yang akan mewarisi perjuangan bangsa yang masih jauh perjalanannya itu harus berfikir dalam jangkauan 100 tahun ke depan dengan berpandukan pengalaman 50 tahun yang lepas. Waktu itu segala-galanya berubah dan generasi lama yang masih ada sekarang tak mungkin wujud lagi pada masa itu.

Waktu itu nasionalisme tak relevan lagi dijadikan dasar perjuangan politik. Justeru itu, penyatuan yang dibuat atas nama nasionalisme sudah tentu tidak dapat dipertahan sampai ke bila-bila. Sebaliknya agama terus mengungguli keadaan hingga ke dalam perjuangan politik untuk generasi mendatang. Ini hakikat yang setiap umat Melayu-Islam perlu menyedarinya.

Lantaran itu, mulai sekarang, galaslah saranan TGNA dengan sebaiknya dan mulalah langkah awal dengan berfikir, berbincang dan seterusnya merancang. Janganlah mengharap sangat gagasan ini diimplimentasikan oleh generasi pakcik, makcik dalam UMNO yang sedang berkuasa sekarang, sebab sejarah telah membuktikan bahawa setiap perubahan besar yang berlaku dalam sesebuah negara di dunia ini datangnya dari usaha orang muda yang berpengetahuan luas serta jauh jangkauan mindanya.


Jika gentar pada risiko..usah bicara erti perjuangan....

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

 

© Copyright 2007-2008. Nekadislam.Blogspot.Com. All rightsreserved | Nekadislam.Blogspot.Com is proudly powered by Blogger.com | Template by o-om.com