7.20.2008

BENARKAH HARAKAH LIDAH RASMI PAS?

. 7.20.2008



Asalnya akhbar Harakah diterbitkan dengan matlamat untuk menyalurkan maklumat parti PAS kepada ahli PAS di samping menjadi alat untuk menyampaikan mesej dakwah dan tarbiyah kepada ahli dan masyarakat umumnya. Begitu juga dengan penubuhan edisi onlinenya, harakahdaily, yang saya percaya mesti mempunyai tujuan yang lebih kurang sama. Setidak-tidaknya kedua-duanya adalah menjadi instrumen terpenting parti untuk menjelaskan dasar dan prinsip PAS dan manjadi saluran utama kepada pimpinan PAS untuk menyampaikan mesej mereka kepada masyarakat.

Tetapi, sejak akhir-akhir ini, saya rasa Harakah telah agak tersasar dari landasannya, lebih-lebih lagi Harakahdaily. Kebanyakan beritanya lebih berkisar kepada isu-isu Pakatan Rakyat dan PKR termasuk isu Dato Seri Anwar Ibrahim. Tidaklah salah untuk membuat liputan berkenaan isu-isu tersebut, tetapi janganlah terlalu berlebih sehingga kelihatan seolah-olah Harakah telah menjadi lidah rasmi kapada PKR dan PR. (Lainlah kalau Harakah tu ditubuhkan oleh Pakatan Rakyat.).

Saya agak terkilan apabila berita besar seperti kenyataan Tuan Guru Presiden di dalam wawancaranya bersama akhbar harakah baru-baru ini tidak betul-betul di war-warkan untuk kepentingan parti. Kenyataan Tuan Guru Hj Hadi itu amatlah penting kerana belia adalah Presiden PAS, iaitu individu yang mempunyai kuasa eksekutif yang paling tinggi dari segi hirarkinya di dalam parti. Kenyataannya sudah tentulah menggambarkan hala tuju parti yang dipimpinnya. Apabila beliau dengan jelas menegaskan bahawa PAS boleh berbincang dengan UMNO demi kepentingan Islam dan Melayu, mengapa perlu dipinggirkan isu tersebut? Sepatutnya harakah bekerja dan berusaha untuk mendapatkan dan menyiarkan seberapa banyak sokongan ahli dan pimpinan PAS yang lain terhadap kenyataan Tuan Guru Presiden tersebut.

Harakahdaily juga sepatutnya meletakkan wawancara tersebut diruangan utama lamannya sehingga beberapa hari. Tetapi tidak, wawancara tersebut hanya kekal tidak sampai satu hari di ruangan teratas harakahdaily. Sekarangnya ianya diletakkan di dalam ruangan Bicara Presiden. TETAPI, kenapa perlu ditukarkan tajuknya kepada sesuatu yang tidak menggambarkan isi kandungan wawancara tersebut? Setelah Tuan Guru Presiden dengan panjang lebar membicarakan soal pertemuan diantara PAS dan UMNO demi kepentingan Islam dan Melayu di samping peringatan kepada Pakatan Rakyat supaya tidak mempermainkan ahli dan jentera PAS selepas pilihanraya, mengapa tajuknya menjadi : “Memantapkan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat”? Di manakah relevannya tajuk dengan isi kandungannya? Siapakah yang memandai meletakkan tajuk tersebut?

Perkara yang sama berlaku apabila kenyataan akhbar Tuan Guru Presiden (yang entah disediakan oleh siapa?) yang dibacakan oleh Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin di Parlimen sempena dengan penahanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah diselewengkan tajuknya. Kalau isi utama kenyataan akhbar tersebut mengenai padangan PAS terhadap penahan DSAI, mengapa tajuknya menjadi “PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat perjuangkan keadilan”. Adakah wartawan harakah tidak bersekolah sehingga tidak tahu merumuskan berita dengan tajuk yang sesuai. Ataupun mungkinkah ada tangan-tangan lain yang cuba mempengaruhi harakah dengan propaganda peribadi mereka??

Apapun, saya harap kakitangan harakah sedar bahawa mereka bekerja untuk parti bukan untuk individu tertentu. Sebarang berita yang hendak disampaikan mestilah menyuarakan hasrat pimpinan parti (lebih-lebih lagi Presiden PAS sendiri). Sekiranya mereka mempunyai agenda yang lain dan tidak boleh menerima arahan Presiden, sila letak jawatan dan berudur secara terhormat.

Kembalikan harakah kepada PAS!
Kiriman Abu Ezzadi (abu_ezzadi@yahoo.com) -


Jika gentar pada risiko..usah bicara erti perjuangan....

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

 

© Copyright 2007-2008. Nekadislam.Blogspot.Com. All rightsreserved | Nekadislam.Blogspot.Com is proudly powered by Blogger.com | Template by o-om.com