7.18.2008

Artikel menarik menjelang Muktamar

. 7.18.2008



Mutakhir ini, heboh dikatakan PAS sedia bermuzakarah dengan UMNO demi kepentingan Melayu dan Islam, lantaran pandangan mereka tidak dihargai dalam Pakatan Rakyat oleh DAP dan PKR.

Saya cuba meneliti perkara ini dengan sebaik mungkin. Nampaknya ada beberapa perkara yang boleh kita pertimbangkan di sebalik isu ini :


1) UMNO dan Barisan Nasional berada dalam keadaan lemah. Lalu dengan strategi politik, mereka mula menyebarkan provokasi kononnya Pakatan Rakyat tidak mungkin bertahan lama kerana berlainan ideologi.

2) UMNO meniupkan sentimen perkauman terutamanya melalui Utusan Malaysia dengan pendedahan oleh abang MB Perak, mengatakan kononnya ada Perjanjian Pangkor II di antara MB Perak;Ir. Nizar Jamaluddin dengan DAP. Tetapi Nizar menafikan perkara ini sekeras-kerasnya.

3) Pertentangan di antara Dewan Pemuda PAS Selangor dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang diterajui oleh Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besarnya, menampakkan seolah-olah pandangan PAS tidak dihargai. Isu konsert Mas Idayu dan Ella sempena perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor dan yang terbaru kedatangan Chelsea yang ditaja oleh syarikat arak ; Heineiken membuktikan lagi seolah-olah suara PAS dinafikan dalam membuat sesuatu keputusan. Lalu UMNO menyebarkan dakyah mengatakan PAS hanya melukut di tepi gantang dan dipergunakan oleh PKR dan DAP.

4) Isu konsert melondehkan seluar sewaktu PROTES 678 juga menggambarkan pendirian PAS tidak dihormati oleh ahli Pakatan Rakyat yang lain. Sekali lagi nampak ketidaksefahaman di antara mereka.

5) Ada kebimbangan di pihak saya dan mungkin pembaca budiman yang lain, tentang pimpinan PAS termakan dengan dakyah dan provokasi UMNO ini. Lalu timbul kenyataan oleh Presiden PAS bahawa “orang PAS bukan bodoh”, “PAS berhak mengadakan rundingan dengan UMNO tanpa meminta pandangan ahli Pakatan Rakyat yang lain” akibat gaya one man show oleh Anwar Ibrahim dan gelagat PKR dan DAP yang tidak menghormati prinsip dan pendirian PAS. Kesediaan oleh Presiden PAS untuk berunding dengan UMNO ternyata “dialu-alukan” oleh PM, TPM dan pimpinan utama UMNO yang lain dengan memastikan PAS tidak mengenakan sebarang syarat jika ingin berunding demi kepentingan Melayu dan Islam. Pertemuan di antara 12 orang delegasi PAS dengan Menteri Besar Terengganu, mengiyakan lagi perlunya disegerakan muzakarh di antara UMNO dan PAS setelah dilihat ada “sinar perdamaian yang positif” Mujurlah Tuan Guru Nik Aziz meredakan keadaan dengan menyatakan, kini bukanlah keadaan yang sesuai kerana UMNO menghadapi krisis kepimpinan dan hasrat PM hanya hasrat peribadi dan bukan kehendak ahli parti.

Setelah meneliti sejarah PAS yang pernah dibuang dari Kerajaan Campuran pada 1974, apabila UMNO dan Barisan Nasional kembali kuat, maka pimpinan PAS perlu bijak membuat keputusan dalam saat yang kritikal ini. Renungilah sejarah terdahulu agar pisang tidak berbuah 2 kali! UMNO memang lemah kini dan sebab itulah PAS kelihatan sebagai tempat yang boleh mereka berpaut seketika sebelum nanti, dahan tempat mereka berpaut itu akan dipatahkan setelah boleh berdiri kembali dengan teguh.

Kenapa tidak pimpinan PAS melihat terlalu banyak ruang dan peluang untuk berdakwah kepada PKR dan DAP di samping bersepakat di atas isu yang sama buat sekian lama. Benar Melayu dan Islam penting diperjuangkan oleh PAS, tetapi jangan sampai apa yang dikear tidak dapat dan yang dikendong berciciran! Ingin “lari dari mulut buaya, akhirnya masuk ke mulut singa”! Ingin membebaskan diri dari diperkudakan oleh PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat, tiba-tiba rela pula menyerahkan tengkok dan leher untuk disembelih oleh UMNO dan Barisan Nasional. Mungkin kenyataan ini agak keterlaluan, tetapi sebelum apa-apa keputusan dibuat, istikaharah dan mohonlah benar-benar petunjuk Allah Yang Maha Bijaksana.

Saya tidak menentang jika PAS ingin meneruskan muzakarah dengan UMNO tetapi biarlah kita tidak dipermainkan sekali lagi. UMNO hanya ingin menggunakan PAS demi survival politiknya. Kita perlu lebih berwaspada dari golongan munafiq daripada golongan kuffar yang telah jelas kekufuran mereka. Buat pimpinan PAS, kita masih ada ruang dan peluang dalam menegaskan prinsip dan pendirian parti dalam Pakatan Rakyat. Jangan kita kalah sebelum mencuba. Kalau Nabi saw boleh melaksanakan Piagam Madinah dengan memperuntukkan fasal-fasal untuk golongan Yahudi dan golongan musyrikin demi menghormati agama mereka, kenapa tidak kita? Dan Nabi saw juga tidak pernah bersekongkol dengan golongan munafiq di Madinah, kerana mengetahui merekalah musuh dalam selimut yang sangat membahayakan Islam.

Kalau benar UMNO ingin berunding dengan PAS, perkara pertama yang perlu kita tetapkan yang bukan dari syarat kita sebagai manusia dan sebagai parti politik, tetapi patuhilah perintah Allah dari sudut pelaksanaan hukum Allah seperti menutup aurat (terutamanya di kalangan isteri-isteri pembesar UMNO) dan menghapuskan akta yang zalim seperti ISA. Allah sekali-kali tidak mengizinkan perintahnya dicabuli oleh manusia sebagai hamba Allah dan mengharamkan kezaliman berlaku sesama manusia!

Akhir kalam, ini merupakan pandangan peribadi saya yang ingin melihat negara terus ditadbir oleh pemimpin yang adil, berintegriti dan beramanah. PAS perlu mengambil tindakan yang bijak dan tepat pada saat yang genting ini, demi memastikan api perjuangan untuk memartabatkan agama Allah di negara kita, tidak pernah padam walau apa jua cabaran dan rintangan yang bakal dihadapi! Siru ‘ala barakatillah.


Jika gentar pada risiko..usah bicara erti perjuangan....

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

 

© Copyright 2007-2008. Nekadislam.Blogspot.Com. All rightsreserved | Nekadislam.Blogspot.Com is proudly powered by Blogger.com | Template by o-om.com