alam Kamunting,
Ramai datang bertanya saya mengenai rundingan PAS-UMNO. Saya jadi laku untuk disoal sebab saya sendiri telah menulis di laman ini mengenainya. Saya menyokong, sedang yang bertanya itu pelbagai. Ada yang datang bertanya sambil membawa kalungan tahniah, ada yang membawa selambak kekeliruan dan yang betul - betul berang dan marah, belum datang lagi walaupun ada yang memang betul - betul berang dan marah dengan tulisan saya.
Bila saya jawab, harapan saya ia menenangkan mereka. Itulah harapan daripada sebuah jawaban. Tapi, siapalah saya untuk menenangkan semua, sedang persoalannya adalah besar. Ia isu terbaru politik semasa walaupun ia bukanlah baru dalam politik Malaysia, apatah politik Islam.
Saya rasa elok untuk dikongsi beberapa persoalan dan jawaban yang merungkai.
1) Bila Islam akan berdaulat di Malaysia dan bagaimana?
Jawaban saya: Bila itu janji Allah. Bila Allah berjanji maka janjiNya adalah benar dan dekat. Dunia ini terlalu dekat dan akhirat itu tidak jauh. Cukuplah bagi seorang mukmin itu sebuah keyakinan yang terpaku di hatinya. Keyakinanlah asas segala pergerakan dan natijahnya.
Bagaimana? Ia berlaku dengan sunnah Allah dan jadualNya. Islam itu milikNya dan kita hanya menikmati perjalanannya. Apabila Allah menghendaki, dijadikan hambaNya yang beriman itu tersedia dengan kekuatan yang cukup, kualiti dan kuantiti, lalu tercetuslah kemenangan yang di nanti.
Kualiti itu mendahului. Ia bermaksud taqwa, ikhlas dan menjadikan ar Rasul sebagai ikutan ( mutaba'at ul Rasul ). Kemudiannya adalah kuantiti. Dihijrahkan ar Rasul sallaLlahu alaihi wasallam demi menyempurnakan tuntutan bilangan yang diperlukan untuk sebuah kemenangan Islam. Dulu satu mampu menewaskan sepuluh. Adapun untuk ummat Nabi akhir zaman, ia memerlukan satu jumlah yang lebih baik ( Rujuk al Anfal:64-65 ).
Bagaimana di Malaysia? Ia sama. Sunnah Allah berjalan. Dalam bicara konteks demokrasi pilihan raya hari ini, Islam akan berdaulat dengan penyempurnaan tuntutan sunnahNya jua.
Kita perlukan undi kualiti. Setiap kita ada satu undi. Tetapi undi seorang 'Carburator Dung' untuk PAS tak sama dengan undi seorang tuan guru. Undi tuan guru mengaut ribuan undi pengikutnya. Itulah undi kualiti. Jikalah kita pemilik undi kualiti..
Maka tiadalah jalan untuk perjuangan ini tanpa kehadiran para ulama yang bertaqwa.
Kemudian, kita perlukan undi umat Islam yang ramai. Islam didaulatkan oleh umatnya jua. Tiada dalam sunnah Allah golongan bukan Islam menjadi pendukung kemenangan sebelum umat Islam sendiri. Mereka sekadar membantu. Sesetengah mereka yang dibuka pintu hatinya oleh Allah. Allah memegang hati setiap manusia.
Bangsa Melayulah yang akan memenangkan Islam di Malaysia jika ianya hari ini. Melayu adalah kekuatan Islam. Yang akan memenangkan Islam di Malaysia adalah Melayu PAS, Melayu UMNO dan semua Melayu. Kemudiannya adalah undi muslim bukan Melayu. Undi mereka mungkin lebih berkualiti tetapi bukan pada kuantitinya.
Kemudiannya pula adalah undi bukan Islam. Beberapa individu bukan Islam ( musyrikin ) membantu RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam di dalam perjuangan baginda. Di dalam negara kita, akan ada sekelompok bukan Islam yang terpesona dengan Islam dan kecewa dengan sistem lain yang akan membantu Islam. Ramaikah? Mungkin, tetapi ia tak mungkin diimpikan daripada mereka melebihi harapan kepada umat Melayu Islam sendiri.
Gobala mungkin ya, tetapi belum lagi Tian Chua, apatah Xavier Fernandes.
Di Kelantan, Islam tidak menang kecuali sesudah Melayu UMNO dan Melayu atas pagar beralih kepada PAS. Samada mereka mendaftar sebagai ahli PAS atau Allah memaut hati mereka untuk mengundi PAS. Jadilah PAS menang dalam demokrasi berpilihan raya.
Justeru, kemenangan Islam adalah melalui gerakan Islam yang dipimpin ulama ( kualiti ) dengan sokongan bangsa Melayu seramainya.
Jika anda memahami ini, maka anda akan faham mengapa orang UMNO begitu bernilai untuk PAS demi kemenangan Islam.
Jika anda memahami ini, maka anda akan faham bagaimana mendekati UMNO adalah tuntutan yang tidak akan berubah dan pudar.
Jika anda memahami ini, anda akan faham betapa berusaha memecahkan tembok keras UMNO yang memagari dan menutup orangnya daripada didekati adalah tuntutan sepanjang masa.
Jika anda sudah faham, fahamilah bahawa berunding dengan UMNO yang telah membuka pintu itu adalah peluang keemasan untuk memperkenalkan Islam kepada ahli UMNO yang telah lama dikongkong pemikiran mereka.
Saya mengupas dalam konteks kita di dalam sistem demokrasi hari ini. Allah lebih tahu bila dan bagaimana sebenarnya. 1% adalah usaha, 99% adalah tawakkal. Sekelumit kecil daripada kita. Itupun kerana Allah inginkan untuk kebaikan kita. Seagungnya adalah penyerahan segala daya dan upaya kepada Allah jua. Itulah akidah kita para pejuang.
Ulasan selanjutnya dari SDR NIK ABDUH NIK ABD AZIZ dalam POLITIK DAMAI
0 comments:
Post a Comment