7.28.2008

Hati-hati bila memilih

. 7.28.2008


Yakin dengan apa yang diperjuangkan adalah ciri dan prasyarat untuk diangkat sebagai pimpinan dalam sebuah gerakan Islam. Kalau pemimpin sendiri tidak yakin dengan apa yang diperjuangkan, bagaimana pula ahli di bawah?, dan bagaimana pula pemimpin tadi boleh mengemudi perjuangan hingga mencapai matlamat perjuangan.

Sedap kita bercakap kepada ahli di bawah bahawa jalan perjuangan ini sangat jauh, tiba-tiba kita pula tidak sabar dengan jauhnya jalan perjuangan. Kita bersyarah berdetum detam mengatakan bahawa tidak ada jalan perjuangan yang sunyi dari ujian,mehnah dan fitnah, tiba-tiba kita sendiri tidak punya ketahanan dan istiqamah untuk berhadapan dengan sunnah perjuangan.Pelik sungguh.


Bila aqidah menjadi tunjang perjuangan, ianya akan membuahkan keyakinan yang sangat tinggi terhadap apa yang diperjuangkan. Yakinlah dia bahawa tumpas di medan tidak bererti kalah dalam perjuangan. Kerana kemenangan yang hakiki adalah di sisi Allah SWT. Inilah akibatnya bila tarbiyyah diabaikan dan politik diutamakan serta dijulang. Bertembung sahaja program politik dengan program tarbawi maka program tarbiyahlah yang pasti akan menjadi mangsa ditunda, dibatal, kaji semula dan sebagainya. Akhirnya bila berpolitik dengan kosong minda tarbawi maka wujudlah pimpinan sendiri yang tidak yakin terhadap apa yang diperjuangkan. Firman Allah SWT :

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad diantaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar.” Surah Ali Imran : 142

Lebih mendukacitakan lagi bilamana keraguan terhadap apa yang diperjuangkan oleh si pemimpin ini diluahkan di khalayak sehingga menjadi alat dan diperalatkan oleh musuh. Lebih-lebih lagi pula, dijadikan hujjah oleh musuh untuk menghentam perjuangan Islam yang suci murni. Rupanya bukan dalam UMNO sahaja berlaku kesilapan memilih pemimpin, tetapi dalam PAS pun sama juga. Lebih-lebih lagi yang bersemangat muda ditambah pula dengan tiada pengalaman dalam perjuangan dan sentiasa menganggap diri sudah cukup tarbiyyah dan tidak perlu lagi hadir dalam program-program tarbiyyah.

Saya hairan bagaimana seorang pemimpin boleh bercakap bahawa satu hari nanti PAS tidak akan dipercayai lagi kerana mengkhianati sokongan rakyat terutamanya sokongan bukan Islam. Saya yakin PAS tidak akan khianat selagi ia kekal dengan prinsip Islamnya. Syura Ulamak pasti akan mengambil tanggungjawab besar dalam memelihara hal ini. Kalau Syura pun tidak dipercayai, maka siapa lagi yang kita boleh letakkan kepercayaan?. Persoalan strategi pun adalah di bawah pantauan dan keputusan Syura Ulamak. Kenapa seorang pimpinan boleh bercakap bahawa hanya soal hukum diserahkan kepada Syura Ulamak dan soal strategi diserahkan kepada AJK PAS Pusat?. Bagaimana boleh seorang pimpinan gerakan Islam seperti PAS tidak memahami apa yang dikatakan perlembagaan PAS itu sumber rujukannya adalah Al Quran, As Sunnah, Ijmak dan Qiyas. Kalau soal strategi diserahkan kepada AJK PAS Pusat dan soal hukum kepada Syura maka samalah PAS dengan UMNO dengan prinsip pemisahan politik dan agama yang diadaptasi dari sekular. Kalau kita selalu bercakap dosa rakyat yang undi UMNO dalam pilihanraya kerana mereka akan terus melakukan kezaliman dan menyuburkan dosa maksiat, bagaimana pula dosa ahli yang mengangkat pemimpin gerakan Islam dari kalangan mereka yang masih berbau najis sekular?.

Berbalik kepada khianat kepada sokongan bukan Islam. PAS adalah sebuah gerakan Islam dan Dakwah adalah tunjang kerja buat PAS. PAS ingin berkuasa demi menegakkan Islam. Di samping mahu mengajak dan membuat pendekatan dengan non Muslim untuk menyokong PAS dan terlebih baik lagi jika kita berjaya mengajak mereka beraqidah dengan aqidah tauhid yang murni. Sememangnya teruk jika bukan Islam tidak sokong PAS dalam pilihanraya baru-baru ini, tetapi lebih teruk lagi jika ada tuntutan yang bukan-bukan sehingga kepada peringkat mencabar prinsip aqidah Islam. Sokongan dan tahalluf yang seperti ini tidak menguntungkan Islam. Jangan sampai mereka datang memberi amaran kepada kita agar tidak melaksanakan tanggungjawab ubudiyah kita kepada Allah SWT . Jangan sampai mereka datang membawa amaran dan ugutan bahawa kemenangan yang kita dapat adalah kerana kuasa mereka dan kita mesti tunduk kepada tuntutan mereka.

Sememangnya PAS, PKR dan DAP ada kelemahan. Tetapi takkanlah sama kelemahan PAS dengan kelemahan PKR dan DAP di hadapan seorang pemimpin PAS?. Sememangnya juga ketiga-tiga parti ini saling memperkukuhkan antara satu sama lain. Tetapi PAS mempunyai prinsip dan dasar perjuangan yang jauh berbeza dengan DAP serta PKR. PAS tidak boleh membiarkan ia diperkuda, diperbudakkan dan dibodohkan. Seorang pimpinan dalam PAS wajib mempertahankan kemuliaan perjuangan PAS. Kalau sanggup membiarkan PAS terhina dengan hanya kerana mahu terus dilihat sebagai dapat mempertahankan kepercayaan sokongan bukan Islam, maka ini bukan sikap pimpinan PAS, tetapi lebih layak duduk dalam UMNO.

Di hadapan Allah SWT, kelemahan PAS tetapi masih lagi bertunjangkan aqidah yang benar sudah tentu masih dalam ruang lingkup kasih dan rahmat Allah. Kelemahan dalam PAS adalah tarbiyyah dari Allah. Kita sebagai manusia diajar untuk bersedia menerima kelemahan dan sedia mendengar nasihat. Inilah manisnya berada di dalam sebuah gerakan Islam yang bekerja untuk mencari keredhaan Allah bukannya sokongan manusia semata-mata. Nak buat apa seluruh manusia sokong kita sekalipun dalam keadaan kita dimurkai Allah. Sepertimana kata seorang sahabat saya, bila Karpal Singh marahkan PAS dengan dasar Islamnya, takkan nak suruh pimpinan PAS segera pergi memohon maaf kepada dia?

Kesimpulannya, berhati-hati memilih pemimpin dalam PAS. Jangan kerana petah berkata-kata terus diangkat dan dipilih menjadi pemimpin. Padahnya, kita akan terasa pedih berhadapan dengan pimpinan yang tidak punya keyakinan terhadap apa yang diperjuangkan dan lansung tidak optimis dengan kemenangan Islam adalah kerana jihad dan pengorbanan golongan yang bertaqwa walaupun bilangan mereka itu sedikit sekalipun.


Jika gentar pada risiko..usah bicara erti perjuangan....

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

 

© Copyright 2007-2008. Nekadislam.Blogspot.Com. All rightsreserved | Nekadislam.Blogspot.Com is proudly powered by Blogger.com | Template by o-om.com