29hb Julai 2008
Laporan hospital yang didedahkan semalam mengesahkan hujah kami bahawa tuduhan yang dikenakan ke atas saya sememangnya tidak berasas dan bermotifkan politik serta petuduh itu seorang penipu yang bersengkongkol dengan penguasa untuk membunuh karakter saya dan juga berhasrat untuk melengahkan aspirasi rakyat yang mahukan perubahan.
Laporan ini menjadi asas kepada kita untuk curiga dengan apa yang dikatakan sebagai penyiasatan polis yang tidak berpihak dan adil serta menunjukkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mensabitkan saya dengan pertuduhan fitnah tersebut, dengan apa cara sekalipun, walaupun ianya tidak berasas.
Kami tidak memahami bagaimana pihak polis dalam jangka masa empat minggu terakhir ini, yang kononnya telah menjalankan penyiasatan yang teliti dan profesional boleh terlepas pandang bukti yang sebegini penting? Saya mengecam dengan sekeras-kerasnya kecuaian, ketidakjujuran dan sikap tidak bertanggungjawab mereka yang menghina negara dan mengheret kita untuk melalui penipuan yang jahat dan keji ini.
Keengganan kami untuk menyerahkan sampel DNA terbukti benar dan tepat. Kegagalan pihak polis untuk mendedahkan laporan kesihatan ini membuktikan niat mereka untuk memerangkap saya. Keterdesakan mereka untuk dapatkan sampel DNA yang baru menunjukkan usaha terakhir mereka untuk membentuk kes yang sebenarnya tidak muncul.
Kenyataan Presiden Majlis Peguam Malaysia Dato’ Ambiga Sreenevasan terhadap perkembangan terbaru ini bolehlah kita ambil.
“Kredibiliti sistem keadilan di Malaysia secara keseluruhannya berada di saat genting. Integriti para profesional, samada doktor ataupun peguam janganlah diganggu. Masyarakat mesti tidak mempunyai sebarang keraguan terhadap sistem keadilan di negara ini dan mereka mesti yakin bahawa ianya tidak disalah guna mahupun dicerobohi.”
Beberapa minggu lalu saya telah menfailkan satu laporan mensabitkan Musa Hassan dan Gani Patail dengan satu konspirasi untuk memalsukan pembuktian kes membabitkan saya pada tahun 1998. Badan Pencegah Rasuah sudahpun memulakan siasatan terhadap laporan tersebut. Saya secara konsisten menyatakan bahawa penyiasatan yang adil adalah mustahil kerana kedua-dua mereka masih mengetuai Pasukan Polis dan Jabatan Peguam Negara dan pernah terlibat dalam menfitnah dan memalukan saya, tambahan pula karakter petuduh yang meragukan disamping dekatnya dia dengan Timbalan Perdana Menteri, isteri beliau, kakitangannya dan individu penting di dalam pasukan polis.
Saya ulangi gesaan untuk menjamin keselamatan dan perlindungan terhadap doktor yang menulis laporan kesihatan tersebut. Adanya laporan yang mengatakan beliau dan keluarga beliau berada dalam bahaya mestilah tidak dipandang ringan kerana wujudnya insiden saksi penting dalam kes berprofail tinggi di Malaysia didapati diugut, dipaksa dan hilang entah ke mana.
Saya sekeluarga telah melalui ujian yang berat beberapa bulan kebelakangan ini. Ketakutan akan berulangnya trauma dan pencerobohan yang dikenakan ke atas kami hanya dapat ditanggung bila menyedari betapa besarnya sokongan rakan-rakan dari Malaysia dan seluruh dunia. Kami merasa beban berat seperti diangkat dari bahu kami bila melihat dan membaca laporan tersebut. Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang sentiasa mempercayai kami dan komitmen mereka terhadap perjuangan kebebasan dan keadilan di Malaysia.
Saya secara sukarela bekerjasama dengan penyiasatan yang dibuat oleh pihak polis; namun ianya ternyata cuai dan berniat jahat rupanya. Saya berpandangan negara ini berada dalam kedudukan yang tenat dari aspek ekonomi dan sosial dan saya tidak mahu lagi dipesongkan oleh gangguan sebegini. Saya bertekad untuk melangkah ke hadapan bersama agenda perubahan, yang disokong oleh rakyat Malaysia pada pilihanraya yang lepas, dan saya tidak berhasrat untuk melayan tuduhan fitnah ini lagi.
Pada ketika ekonomi dunia menuju kemelesetan dan Malaysia terpaksa bergelut untuk kekal bersaing dengan jiran-jirannya, skandal ini ternyata muncul pada waktu yang sangat buruk. Masalah inflasi, pengangguran dan terhakisnya keyakinan pelabur semakin hari semakin buruk. Pihak berkuasa dibantu pula oleh menteri kanan dalam kerajaan, kelihatan sengaja mengheret nama negara ini ke bawah hanya kerana untuk kekal berkuasa. Komuniti antarabangsa telah melahirkan rasa tidak senang mereka terhadap apa yang berlaku, ini boleh mengakibatkan pengurangan pelaburan asing, pelancong dan sudah semestinya menyebabkan ekonomi yang lemah.
Saya menyeru kerajaan supaya bangkit meninggalkan segala percaturan remeh dan berniat jahat hanya kerana ingin kekal berkuasa, mereka perlu jujur, ikhlas serta efektif dalam segala tindakan. Pada saat ini kemaslahatan negara adalah tanggungjawab mereka, kita menuntut tidak kurang dari itu.
ANWAR IBRAHIM
0 comments:
Post a Comment