Salam Kamunting,
“Hidangkanku secangkir kopi panas.” Begitu isteri saya memahami bahasa hati saya apakala saya memintanya secawan kopi. Ia mesti panas sepanasya.
Bila ia dihidangkan sempurna di atas meja tempat saya membaca, atau menulis, atau mungkin nanti saat saya menonton pasukan premier leaugue saya, Newcastle United menentang Manchester United Ogos ini, jemari saya akan menyentuh perlahan cawan itu dan merasai keperitan panasnya. Jika panas, ia segera menyelinap ke dalam diri menerpa selera di lubuk dalam lalu membukanya. Sebelum lidah bertarung mengurai kepanasan air kopi itu, diri saya telah pun menikmatinya dengan rasa segar membangkit selera.
Jika tidak, saya akan memanggil isteri saya kembali. Bila dia berpusing balik, saya mencebik dan menyengetkan kepala saya. Dia mengetap bibir dan mendengus kemarahan, kadang - kadang melepaskan senjata perempuannya, membebel - bebel entah apa. Ah, saya menikmati telatah seorang isteri yang solehah. Marah itu bukan benci. Marah itu tanda sayang. Marah reda beriring keredhaan. Redha datang bila faham. Isteri saya cukup memahami saya.
Kopi tak panas itu jadi habuannya. Kebetulan ratu permaisuri saya ni suka minum kopi suam. Marah pun reda dan saya menikmati tegukan akhir kopi panas sepanasnya itu pada suhunya yang sudah suam atau langsung dah sejuk.
Aku harap Newcastle aku tak kalah pada Manchester pada perlawanan pembukaan nanti. Aku minat Owen budak baik itu. Sumbat Owen, jangan tak sumbat.
Tetapi sesetengah manusia tak memahami saya.
Bila saya kemukakan nas dan sirah serta praktikal gerakan Islam menghadamkan politik damai dalam perjuangan menuju keredhaanNya, teman yang menghujah saya itu membalas, yalah, nas itu satu hal. Tapi UMNO ni bla bla bla. Taring kemarahan saya segera menyeringai. Kalau tidak kerana saya cepat memacak tanda bodoh jahil di atas kepalanya, pasti saya ketuk kepalanya dengan cawan kopi panas di depan saya lalu berkata, ” Bodoh lebih baik daripada degil. Kamu ni degil.” Kawan saya ini hanya jahil.
Bolehkah anda menghujah nas dengan perkiraan dan jenis strategi bebal otak anda? Saya bacakan nas dan menghurainya, anda pun berkata, “Yang Allah kata tu ye lah. Tapi bla bla bala..” Apa kita diajar beradab begitu di depan Allah? Lihat al Hujurat:1-2.
Hujah nas mesti didepani nas juga. Samada anda datangkan nas lain atau anda mentafsir nas yang sama dalam kerangka ilmu tafsir dan takwil yang dibenarkan. Anda tak boleh menolaknya dengan hujah bengal bingal otak anda. Salah, lemah dan tak beradab namanya di sisi agama.
Jangan jadi sesat seperti segolongan manusia yang melayan ayat al Quran yang memuji kebesaran para sahabat ar Rasul sallaLlhu alaihi wasallam dengan tafsiran dan takwilan sesat demi semata - mata nak menegakkan bahawa kebenaran dan kebesaran hanya milik Ali karramaLlahu wajhahu dan ahlil Bait sahaja, bukan untuk seluruh para sahabat.
Allah menyuruh kita berdamai bila musuh miring untuk berdamai. Abaikan dulu soal tipu daya. Allah bersama kita menolong kita. Jika Pak Lah nak tipu, tipulah. Allah takkan bersama Pak Lah pun. Apa takut? Bila Pak Lah tipu, Allah tipu Pak Lah. Tipah tertipu, Pak Lah lagi tertipu.
Berdamai! Kamu takut? Allah bersama. Dia tunjukkan jalan untuk mengelak daripada ditipu atau, jika Dia benarkan tipu daya berlaku, Dia sendiri ambil risiko tipu daripada kita. Bila dia ambil, sekali lipat Allah pukul balik musuh yang menipu.
Allah tidak membebankan kita dengan risiko rugi ditipu. Allah bebankan kita dengan keberanian untuk berdamai.
Ingat, berani untuk berdamai!
Sesetengah anda takut untuk berdamai. Allah telah menjawabnya. Anda mesti berani untuk berdamai. Allah mahu dan sukakan perdamaian.
Muzakarah itu damai. Muqabalah itu damai. Ia berbeza pada bezanya dan ia sama pada samanya.
Anda melihat balah dua ulama pada sisi pandang balah PAS-UMNO. Ah, langit dan bumi antara keduanya. Mereka menjunjung al Quran sedang yang satu lagi, satunya menjunjung, satu lagi memijak! Samakah?
Sekarang, ayahanda telah kata, tiada beza antara kami. Pertemuan dibenarkan.. Ya, mereka orang politik. Takkan nak bincang matematik. Mereka bincang politik. Politik itu kehidupan. Politik itu dunia dan akhirat.
Sesetengah anda merancang untuk berhimpun di pejabat agung menyatakan sokongan pada tok guru. Apa, kamu ingat menyayangi tok guru adalah dengan membenci tok guru yang lain. Kamu ingat menyayangi Ali adalah dengan membenci Umar. Bodoh..
Perang berjalan, manakala damai, berikan jalan untuknya.
Isteriku, hidangkanku secangkir kopi panas. Aku mahu terus berperang. Damai itu hanya rehat mengesat hanyir darah yang mengalir..
0 comments:
Post a Comment