Oleh Media ProWaris
PRODUKTIVITI NEGARA DIRAMAL AKAN JATUH KE TAHAP TERENDAH; WAWASAN EKONOMI 2020 MALAYSIA TIDAK AKAN TERCAPAI
PUTRAJAYA, 8 Julai 2008 | 5 Rejab 1429H - Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris) dalam temuramah hari ini menyatakan bahawa beliau khuatir sekiranya berlaku kempen “Work To Rule” iaitu mogok di kalangan Ahli-Ahli Profesional secara terancang dan besar-besaran.
Feriz Omar, Presiden ProWaris yang juga merupakan Rakan Kongsi Utama firma Feriz Omar & Partners (Strategists & Advisors), yang sering dirujuk bagi perihal perkembangan politik dan ekonomi dalam dan luar negara merasakan bahawa terdapat begitu banyak faktor yang boleh mendorong Ahli-Ahli Profesional mengambil tindakan demikian. Antaranya adalah kerana isu kenaikan harga minyak yang melambung tinggi secara mendadak; isu kelemahan dan kegagalan pemimpin tertinggi negara menyelesaikan ketidak-seimbangan politik dalaman negara; isu kenaikan inflasi negara yang kritikal dan isu Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang langsung tidak diendahkan dan dianggap remeh-temeh oleh Kerajaan Malaysia.
ISU KENAIKAN HARGA MINYAK DAN INFLASI
Feriz dalam temubual hari ini dapat menerima hakikat bahawa harga minyak perlu dinaikkan seiring dengan harga minyak antarabangsa namun bukanlah pada kadar yang begitu tinggi dan secara mendadak. ”Kerajaan Barisan Nasional perlu ingat bahawa pacuan ekonomi mana-mana negara di dunia bergantung penuh kepada kos bahan api. Kegagalan Kerajaan membuat unjuran pendapatan dan penggunaan dana melalui subsidi secara tepat menunjukkan bahawa Kerajaan hari ini yang dipimpin oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah cuai, lemah dan tidak kompeten! ” kata beliau dalam nada yang serius.
”Ini termasuklah hakikat bahawa sejak Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil-alih tampuk pentadbiran negara, Kerajaan Malaysia ternyata gagal dalam melambakkan peluang dan menambahkan pendapatan negara dalam pelbagai industri berbanding tahun-tahun yang lalu sehingga memaksa jumlah subsidi minyak digunakan untuk keperluan-keperluan lain” ujar beliau.
Feriz juga kesal dengan saranan Kerajaan untuk mengurangkan kos perbelanjaan sekalipun inflasi naik secara mendadak. Pada pendapat penganalisis politik dan ekonomi itu, katanya ”Kerajaan sepatutnya menggalakkan Rakyat Malaysia agar berusaha ke arah penambahan pendapatan dan bukan hanya berkempen untuk mengurangkan pelbagai elaun dan kos sara hidup. Mengurangkan kos sara hidup bermaksud menyeru agar Rakyat untuk tidak berbelanja. Apabila Rakyat tidak berbelanja, aliran tunai dalam negara akan berkurangan dan akhirnya, aktiviti menjadi statik dan ekonomi turut mengecut. Kedudukan ”rating” negara terjejas, pelaburan asing berkurangan dan kos kewangan bertambah. Akhirnya, kacau bilau akan berlaku dan kestabilan ekonomi dan politik negara tergugat”.
KETIDAK-SEIMBANGAN POLITIK DALAMAN NEGARA
Apabila di minta Feriz Omar mengulas tentang isu politik dalam negara, beliau memberikan pandangan berikut; ”Isunya sangat rumit dan semakin menyukarkan terutamanya apabila isu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang boleh dikatakan sangat ramai menyifatkannya sebagai Pemimpin Melayu Paling Lemah Dalam Sejarah 50 tahun Malaysia, isu pandangan dan pendapat mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang sering diketepikan dan dibekukan, tuduhan kes liwat keatas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan tuduhan penglibatan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam kes Altantuya Sharibu menunjukkan bahawa sebenarnya kepimpinan tertinggi negara telah gagal mengimbangi senario politik dalaman dan laporan media massa serta alternatif”. Beliau seterusnya membuat kesimpulan bahawa Malaysia sedang mengalami proses ”transisi” ekonomi dan politik.
Tegas Feriz lagi “Dalam ”transitional period” ini, Rakyat Malaysia tidak perlu lagi bergantung harap terhadap “old guards” ataupun muka-muka lama. Sikap bergantung harap kepada muka-muka lama (yang mana sesetengahnya telah uzur dari pemikiran idea) inilah yang membuatkan kita susah dan payah untuk melakukan perubahan terhadap pemikiran bangsa dan menentukan hala tuju negara”.
“Dato’ Seri Abdullah Badawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Najib Razak adalah merupakan 4 pemimpin terdahulu yang sepatutnya sudah boleh ditukar ganti oleh pemimpin-pemimpin baru yang diyakini oleh Rakyat Malaysia layak dan bersedia untuk mengambil-alih tampuk pentadbiran negara. Salah seorang daripada jutaan Rakyat Malaysia pasti boleh mengisi jawatan tersebut pada bila-bila masa. Akibat pertembungan 4 pemimpin lama inilah, kita bertegang-urat, bermaki-hamun dan berpecah-belah sesama sendiri. Saya sangat merasakan rakyat Malaysia sudah mula berasa mual dan bosan dengan paparan akhbar harian yang melaporkan kerenah pemimpin-pemimpin yang tidak ubah seperti perkelahian anak-anak kecil. Kelihatan seolahnya tidak matang dan jika dibiarkan berlarutan lambat laun pastinya menjengkelkan”.
ISU WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR (WPI)
Dalam kecelaruan ekonomi dan politik negara, Feriz kelihatan sangat risau jika orang asing akan mengambil kesempatan untuk mendominasi kedudukan mereka di Malaysia. Feriz memberitahu ”Bangsa luar yang begitu mantap kekuatan ekonominya sentiasa mengawasi peluang untuk merebut masuk di dalam negara. Seperti yang berlaku semasa Syarikat Hindia Timur menakluki Tanah Melayu, kita juga tidak akan terdaya melawan kekuatan Kaum Cina Singapura melalui syarikat pelaburan dan wang mereka apabila mereka “dijemput” dan menyelinap masuk mengembangkan ekonomi mereka di negara kita”.
Feriz menegaskan, “Jelas, kerajaan hari ini semakin melampau dan melupai asal-usul kerana melalui WPI, bukan sahaja pintu negara Malaysia dikangkangkan seluas-luasnya malahan hamparan merah pula dibentangkan untuk Kaum Cina Singapura datang meraut keuntungan di negara kita sewenang-wenangnya”.
Bagi beliau, “Bukan salah anak-anak Profesional menentang WPI. Sebahagian besar di antara mereka telah dilatih dan diasuh untuk mendendangkan dan benar-benar memahami maksud lagu ”Anak Kecil Main Api” setiap hari ketika di bangku sekolah agar mereka tidak mengulangi kesilapan datuk, nenek, moyang mereka seperti yang berlaku sekarang di bawah pentadbiran lemah Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi”.
“Kita tidak nafikan bahawa ada di kalangan kita mendapat pendidikan awal di luar negara sejak kecil lagi atau yang mendapat pendidikan di Ivy League Universities seperti Oxford tidak berkesempatan belajar lagu tersebut sehingga mungkin membuatkan mereka lalai dan sanggup menggadaikan harta dan kedaulatan Agama Islam dan Bangsa Melayu” ujar beliau lagi.
WORK TO RULE – MOGOK PROFESIONAL MELAYU
Presiden ProWaris itu amat khuatir akan berlakunya mogok Profesional Melayu secara besar-besaran atau istilah Inggerisnya “Work To Rule”. Tidak lama dahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pernah cuba memberi mesej kepada Kerajaan Malaysia bahawa mereka mahukan kenaikan gaji seiring dengan kenaikan gaji pegawai kerajaan yang lain.
Istilah “Work To Rule” bermaksud bekerja dengan tujuan untuk mengurangkan produktiviti tanpa melanggari undang-undang”.
Ramalan Feriz, ”Percayalah bahawa Ahli-Ahli Profesional diramal akan menggunakan kaedah mogok yang sama. Bezanya adalah mereka secara fizikal akan bekerja seperti biasa mengikut polisi majikan masing-masing namun secara senyap-senyap mereka akan mengurangkan produktiviti harian mereka”.
Tidak kira sama ada mereka bekerja di sektor awam mahupun swasta, Feriz dapat merasakan keluhan negatif Ahli-Ahli Profesional terhadap Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Isu kelemahan Perdana Menteri sebenarnya telah memberikan tekanan dahsyat ke atas mereka sehingga boleh mendorong mereka mengisytiharkan “Work To Rule”, suatu tindakan keras oleh golongan Profesional tanpa disedari oleh majikan dan tanpa dapat dibuktikan melanggar polisi ataupun mana-mana undang-undang.
Feriz memberi gambaran bahawa apabila seorang Profesional dalam pihak pengurusan organisasi sektor awam mahupun swasta masuk bekerja seperti biasa, jam 9.00 pagi dan balik jam 5.00 petang setiap hari, majikannya tidak akan tahu bahawa Profesional tersebut sedang mengamalkan “Work To Rule” terhadap majikan mahupun kerajaan. Bayangkan sekiranya Profesional tersebut secara purata mengangkat telefon untuk melayan 30 pelanggan sehari tetapi membuat keputusan untuk mengangkat telefon 5 kali sahaja sehari, kesannya amat besar kerana ia mengakibatkan penurunan produktiviti sehingga 80% sehari.
Ujarnya lagi, ”Itu pun baru seorang Ahli Profesional. Kita tidak dapat mengukur betapa dahsyat kesannya sekiranya ia dipraktikkan oleh sejumlah besar. Mungkin tidak perlu semua tetapi jika hanya 50% daripada jumlah Ahli-Ahli Profesional di Malaysia terlibat, kesannya sudah pasti serius!”.
PELBAGAI KAEDAH “WORK TO RULE”
Seorang Ahli Profesional yang menganjurkan “Work To Rule” boleh mempraktikkannya dengan menggunakan peluang sepenuhnya masa rehat untuk minum pagi, makan tengahari dan minum petang; Ahli Profesional juga boleh mengambil keputusan untuk tidak bekerja lebih masa atau “overtime” atas pelbagai alasan; Ahli Profesional boleh juga bertegas untuk tidak melakukan pekerjaan di luar bidang kerjaya atau ”Scope of Work” yang dipersetujui; dan Ahli Profesional boleh memulakan dan menamatkan kerja harian tepat pada masa, tidak sesaat lebih.
Kajian Feriz menunjukkan bahawa kes-kes seperti ini telah banyak berlaku di negara-negara seperti di Itali, Rusia dan beberapa negara lagi di mana wujudnya kepimpinan negara yang lemah dalam mentadbir urus ekonomi. Contohnya seperti yang berlaku di negara Itali pada pertengahan kurun ke-20 di mana kempen “Sciopero Bianco” atau “White Strike” dianjurkan.
Feriz berpendapat, “Kalau dikaji, pengucupan produktiviti negara ekoran dari “Work To Rule” ini akan mengakibatkan kerugian berbilion ringgit dari pelbagai industri dan akhirnya, pendapatan negara melalui cukai koperat serta individu juga akan terjejas. Situasi ini akhirnya akan mengakibatkan ekonomi terlumpuh dan tidak dapat dinafikan pergolakan akar umbi juga mungkin boleh berlaku”.
Feriz menasihatkan agar Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Dato’ Seri Abdullah supaya mengenalpasti punca dan penyelesaian kepada permasalahan ini sebelum ianya benar-benar berlaku.
KESIMPULAN
Presiden ProWaris dalam kata-kata terakhirnya menegaskan bahawa ”Golongan Profesional adalah komuniti terpenting Malaysia kerana kedudukan mereka sebagai golongan yang mengimplementasi polisi-polisi kerajaan terhadap rakyat. Memandangkan kerjaya profesional itu sendiri adalah punca rezeki yang kurang menggunakan modal, dengan hanya berbekalkan ilmu dan pengalaman, bidang tersebut dipenuhi oleh ramai anak muda Melayu yang berjiwa radikal dan sentiasa mahukan perubahan”.
Mengimbau senario lalu, perubahan yang paling ketara yang dibuat oleh golongan Profesional ini dapat dilihat dalam kekalahan dahsyat Barisan Nasional didalam Pilihanraya Umum ke-12. Ini sebahagiannya adalah kerana komuniti Profesional adalah golongan penggerak rakyat dan komuniti paling layak menjadi Pemimpin di peringkat akar umbi. Ini adalah sesuatu yang kerajaan tidak dapat nafikan dan hakikatnya bagaikan sudah terang lagikan bersuluh. Memang sepatutnya kerajaan mengambil pengajaran dan memberikan tumpuan khas kepada permintaan serta perubahan yang dipromosikan oleh golongan ini sebelum Malaysia digegarkan sekali lagi dengan satu tamparan daripada mereka.
0 comments:
Post a Comment