Oleh Mohd Khairi Wan Ali
PERKEMBANGAN mutakhir di Malaysia menunjukkan semua pihak semacam telah mencapai suatu persetujuan bahawa pertemuan atau muzakarah/muqabalah perlu diadakan. Dengan kata lain : dialog. Terpentingnya, 'kesedaran' ini melibatkan golongan yang berada di strata tertinggi masyarakat dan negara : golongan politik, baik parti atau pun NGO. Ini kerana suatu perkembangan baru - yang berciri tsunami politik akibat dari PRU-12 baru-baru ini.
Pihak yang amat terasa ialah 'penguasa tradisi' Malaysia : UMNO-BN. Ini sekali gus melibatkan dua ikon terbesar negara : Islam, sebagai agama resmi; dan Melayu, sebagai etnik paling berpengaruh dalam status Bumiputera. Sebagaimana 'perjuangan' mana-mana golongan bumiputera, baik di Australia, Amerika Selatan, atau pun di mana-mana saja di muka bumi ini, golongan bumiputera ini inginkan hak mereka tidak dihakiskan, dan jika ada yang telah terhakis, maka hal tersebut perlu 'dipulangkan' baik dalam bentuk perundangan (perlembagaan), atau pun pampasan, ganjaran, dan tentunya, termasuklah permohonan maaf. Semua tindakan 'membayar dosa' ini sudah pun menjadi instrumen terpenting dalam perhubungan antarabangsa, seperti yang telah ditentukan ke atas Jepun, yang kalah pada masa Perang Dunia Kedua.
Pada awalnya, yakni di sekitar satu dekad yang lepas, sudah pun terdapat penganalisaan Huttington, yang menduga suatu pertembungan budaya antara Barat dan Timur, bakal berlaku. Justeru, pelbagai langkah telah diambil, termasuklah menyedarkan dan menghindarkan 'pertembungan' ini dari berlaku, khususnya dalam menganjur dialog antara agama (seperti yang dianjurkan oleh badan-badan NGO, dan kerajaan), muzakarah antara agama (seperti dalam kes keganasan yang dikatakan berpunca dari ajaran agama (Islam)).
Kini, tanpa disedari, 'suatu pertembungan' sedang berputik di Malaysia, yang berkongsi kehidupan dengan pelbagai bangsa, budaya dan agama, isme (termasuklah demokrasi itu sendiri). Pada hemat penulis, penetasan pertembungan ini adalah berpunca dari suburnya amalan demokrasi di Malaysia.
Ini tidak dapat dielakkan. Demokrasi adalah 'the rule of the day', dan dengan adanya kuasa besar seperti Amerika yang sanggup berbelanja berbillion dolar untuk mengeksport demokrasi, tentunya kembaraan demokrasi menjadi begitu agresif. Keadilan (terutamanya dalam soal hak kemanusiaan), dan kesamarataan (yang bererti menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi) menjadi 'senjata' menerobosi mana-mana kerajaan, pemerintah, pertubuhan, amalan dalam kehidupan atau seumpamanya.
Beberapa hari yang lepas, Amerika pula telah meluluskan usul memohon maaf terhadap warga Amerika-hitam kerana tindakan warga Amerika-putih terdahulu, yang telah mencabuli hak-hak kemanusiaan Amerika-hitam. Lagi pun, potensi Obama, seorang warga Amerika-hitam untuk naik menjadi presiden baru Amerika di lihat begitu menyerlah sejak kebelakangan ini. Perkembangan-perkembangan sebegini tentunya membuka mata dunia, dan menjadi ilham kepada pejuang keadilan dan kesamarataan. Warga Malaysia, khususnya dalam DAP dan PKR, tentunya teruja untuk melihat Malaysia tidak tertinggal dalam arus perjuangan, yang di lihat dapat memberi manfaat kepada semua - tanpa mengira warna kulit, keturunan, agama, atau pun bangsa dan seterusnya.
Dengan yang demikian, berlakulah 'suatu pertembungan' dengan golongan yang memperjuangkan bangsa dan/atau agama, yang diwakili oleh, khususnya, PAS dan UMNO. Ini kerana persespsinya ialah : jika memperjuangkan sesatu agama, maka agama lain akan dipinggir atau pun didiskriminasikan. Begitu jugalah dengan memperjuangkan sesatu bangsa! Soal siapa itu bumiputera, dan apa itu agama resmi, tidak menjadi isu lagi! Malah, apa yang ada dalam Perlembagaan perlu ditamatkan jika di dapati bercanggahan dengan keadilan dan kesamarataan. Jika dulunya semangat kebangsaan - justeru bangsa - yang menjadi nadi perjuangan kemerdekaan, hari ini, selepas 50 tahun merdeka, didapati tidak relevan lagi. Pejuang bangsa akan disifatkan sebagai rasis! Pejuang agama pula akan di lihat sebagai fanatik dan ekstremis!
Sememangnya, selepas 50 tahun merdeka, situasi sudah berubah. Generasi baru sudah muncul; aspirasi baru yang lebih terbuka dan saksama menjadi tumpuan utama; tatacara baru (globalisasi dan keuniversalan yang lahir akibat dari kemajuan teknologi) sudah mengambil alih tatacara lama; keadilan untuk semua (seperti yang terserlah dalam hak asasi manusia) di tuntut; dan sebagainya. Nilai-nilai baru sudah bertapak! Apa yang berlaku dalam sejarah, dikekalkan berada dalam muzium! Oleh itu, bagi mengelak 'pertembungan' ini terus berlaku, maka dialog di lihat sebagai antara cara penyelesaian terunggul. Dialog ini pula boleh dilakukan setiap masa, bila-bila, dan oleh mana-mana kumpulan. Kepentingan dialog ini di percayai, tanpa mengira kitaran perubahan yang pasti berlaku, terutamanya, situasi politik negara yang bakal mengalamai perubahan 4 atau 5 tahun sekali seperti di Malaysia, dapat menyelesaikan 'pertembungan'. Namun, perubahan melalui keputusan pilihanraya ini boleh mengagalkan dialog yang sedang berlangsung!
Sebabnya, mereka yang berkuasa yang akan memutuskan sama ada dialog perlu diteruskan atau pun di tukar menjadi seminar perpaduan, forum merapatkan jurang, atau kolokium pembangunan bersama...! Jadi, apakah peranan Islam dalam menghadapi situasi 'pertembungan' ini? 1. Jika dialog yang berteraskan demokrasi dilaksanakan, Islam masih boleh dan tetap mampu berfungsi, selagi umat Islam dapat membuktikan kewajaran larangan Islam ke atas amalan demokrasi dengan menyakinkan.
Contohnya, amalan demokrasi ini boleh diibaratkan seperti seekor kurita gergasi yang teramat hitam, yang akan mengepit sesiapa saja yang bermain dalam lautanya, hatta mereka yang melawati pantainya! Apa tidaknya. Demokrasi mencanangkan kesamarataan, keadilan, popular sufferage, majoriti dan sebagainya, yang di lihat begitu mulia dan murni sekali. Tetapi oleh kerana dalam demokrasi itu terdapat kepartian yang tidak mempedulikan hubungan kekeluargaan; asas politik pembangkang yang menekankan pandangan sepihak; maka keadilan dan majoriti hanyalah satu impian umpama mimpi di siang hari. Ini belum lagi disentuh mengenai taktik-taktik semasa kempen pilihanraya diadakan, yang memerlukan keberanian untuk menyatakan kebenaran, dan bukannya membentuk suatu 'mahkamah rakyat'.
Di Malaysia, pengundi hantu diwarwarkan berlaku dan tanpa di sedari wakil rakyat hantu sudah pun ada (kes Wan Azizah yang menjadi 'hantu' kepada suaminya, Anwar Ibrahim). Sementara itu, Islam menggalakkan perhubungan kekeluargaan dengan menetapkan suami sebagai ketua keluarga. Sebagai ketua, suami adalah suara keluarga untuk didengar oleh masyarakat, yang dianggotai oleh keluarga-keluarga setempat. Dari masyarakat, diangkatkan pula ke tahap daerah, dan seterusnya ke peringkat negara. Mereka selalu bermuzakarah untuk mencapai kata putus bagi menyelesaikan sebarang perselisihan yang ada dalam masyarakat, dan demi untuk kepentingan bersama. Kata putus muzakarah ini yang berasaskan majoriti perlu di sokong, dan pihak yang tidak sependapat perlu bersabar sehingga pandangannya di terima. 2.
Jika dialog yang berteraskan agama Islam dapat dilaksanakan. Maka, para pewaris agama perlu memperjelaskan betapa Islam mendepani semua golongan dengan adil, saksama, dan tentunya sama rata. Contohnya, Islam mengizinkan kebebasan beragama, termasuklah tatacara beragama; Islam membenarkan hukuman berlangsung mengikut agama atau adat - termasuk fahaman baru - masing-masing; Islam menentukan semua menghormati satu sama lain; Islam mensyaratkan semua pihak berganding bahu membantu jiran dalam kesempitan, atau pun negara dari dicerobohi; dan sebagainya. Maksudnya, mereka yang beragama akan mewakili pihak yang beragama, dan mereka yang berfahaman demokrasi, misalnya, boleh mewakili pihak yang berkenaan. Syaratnya, semuanya perlu dipersetujui bersama dan mengikut kadar masing-masing. Jika berlaku kesalahan rentas agama atau adat dan isme, maka masing-masing perlu mengenakan hukuman mengikut kadar masing-masing. 3.
Jika dialog berteraskan bangsa dilaksanakan. Islam masih boleh berfungsi. Ini kerana Islam mengiktiraf hak setiap bangsa atau keturunan yang ada dalam sesatu wilayah. Dengan kata lain, suatu bentuk pengiktirafan perlu diberikan kepada semua. Apa yang di pinta oleh Islam ialah mana-mana bangsa perlu bertindak adil ke atas semua. (Perhatian: Keadilan ini terhasil berasaskan taraf yang diberikan kepada mereka yang bermastautin pada sesatu masa, di dalam sesatu kawasan atau wilayah.) Demikianlah secara ringkas mekanisme dialog yang berteraskan pada sesatu asas (fahaman, agama, atau pun bangsa). Adalah sungguh malang, jika sesatu fahaman itu memaksa dialog diadakan mengikut asas fahamannya saja. Ini akan hanya memberi ruang antagonis sebegitu luas. Lagi pun, jika dibandingkan antara asas-asas dialog, maka asas yang berteraskan agama adalah yang terbaik. Ini kerana semua aspek besar dan penting, seperti bangsa, agama, adat dan fahaman (isme) terkini, di ambil kira dan di beri ruang seluas-luasnya untuk menyatakan kemahuan masing-masing. Lainlah, jika ada dari golongan atau pihak tertentu yang mencemburui hak bangsa asal (atau bumiputera) dalam menjadi penentu dalam negaranya, atau wilayahnya, sedangkan Islam mengizinkannya. Ini boleh difahami kerana setiap bangsa itu mempunyai tatacara kehidupannya yang tersendiri, dan fahaman baru yang muncul perlu melalui proses keserasian terlebih dulu. Sungguh pun begitu, setiap bangsa asal perlu berlaku adil.
Kejujuran berdialog dilihat wujud bila masing-masing bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang dilihat lebih baik untuknya. Tuntutan diizinkan, tetapi bukan pencerobohan, kerana ini hanya mengundang tindak-balas yang negatif - sesuatu yang tidak diingini.
0 comments:
Post a Comment