Belum ada Speaker di negara Komanwel terima usul tidak percaya terhadapnya
Mohd Nor Yahya
Sun | May 03, 09 | 5:59:06 pm MYT
KOTA BHARU, 3 Mei (Harakah) - Mungkinkah apa yang dilakukan kerajaan kudeta Barisan Nasional (BN) di Perak sekarang seumpama kata bidalan 'berniaga buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap'.
Lebih mengaibkan lagi apabila Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Dr Abdul Rahman Hashim dan setiausaha Dewan Undangan Negeri, Abdullah Antong Sabri tiba-tiba mengambil alih tugas Speaker, V Sivakumar.
Begitu juga dengan Menteri Besar kerajaan kudeta, Dato' Dr Zambry Abdul Kadir bercadang mencalonkan Speaker baru, Dato' R Ganesan pada persidangan Dun 7 Mei ini.
"Inilah satu keanehan yang berlaku di Perak dan negeri itu akan mencatat sejarah dalam di negara Komanwel jika Speaker membenar undi undi tidak percaya terhadapnya.
"Speaker mempunyai hak mutlak menentukan susunan urusan Dun di mana terdapat beberapa keadaan yang membolehkan Speaker menolak usul yang dibawa mana-mana Adun," kata bekas Speaker Dun Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
Beliau yang mempunyai lebih 10 tahun sebagai Speaker berkata, tindakan Adun BN mengemukakan usul tidak percaya kepada Sivakumar secara jelas menggambarkan politik buli yang Umno amalkan masih menebal.
Baru-baru ini Dr Zambry mengemukakan usul kepada pejabat Setiausaha Dun Perak untuk melucutkan Sivakumar dan melantik Speaker baru pada persidangan Dun yang akan bermula Khamis ini.
Wan Rahim yang juga anggota Parlimen Kota Bharu berkata, Sivakumar tidak boleh dipecat selagi beliau mampu menjalankan tugas dengan baik dan mengikut peraturan Dewan atau undang-undang Tubuh Perak.
"Ini kerana amalan Speaker dari kalangan pembangkang bukannya perkara luar biasa di negara Komanwel. Di England pernah berlaku Speaker dari parti Konservatif ketika parti Buruh memerintah.
"Namun Umno tidak bertamadun apabila mahu memecat Speaker kerana alasannya berlainan parti. Mereka sedang bermain sandiwara untuk melantik Speaker lain," katanya ketika ditemui di sini.
Beliau juga memberitahu pada persidangan Dewan Rakyat sebelum ini, Speaker menolak usul undi tidak percaya yang dibawa Pakatan Rakyat terhadap Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika masih menerajui kerajaan.
Begitu juga katanya di Dun Melaka Speaker menolak usul undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri.
"Usul undi tidak percaya boleh berlaku tetapi bagi Speaker ia merupakan tindakan yang tidak sopan selagi Speaker boleh menjalankan tugas yang diamanahkan," ujarnya.
Beliau menegaskan terpulang kepada Speaker untuk membuat keputusan menerima atau tidak usul yang akan dibawa wakil rakyat BN di Perak.
Ditanya tindakan kerajaan kudeta BN yang mahu menghadkan media membuat liputan di Dun Perak katanya, BN tidak mahu rakyat mendapat gambaran sepenuhnya persidangan yang berlangsung.
Dalam perkembangan yang sama hari ini Sivakumar menjelaskan semua media dibenarkan untuk membuat liputan persidangan Dun Perak bermula 7 Mei ini.
Menurutnya Perintah Perintah Tetap 84 (Dun Perak) kuasa diberi kepada Yang Dipertua Dewan Negeri untuk mengeluarkan kebenaran am kepada wakil mana mana media menghadiri persidangan dewan. - mj _
Tuan Rumah;Malaysia book of records, World book of records, Mongolia book of records....malam-malam book of records
0 comments:
Post a Comment