Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menyelar Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak kerana meletakkan syarat yang tidak waras sebelum berunding dengan Pakatan Rakyat (PR) bagi menyelesaikan krisis politik di Perak.
"Najib kata, kita (PR) seharusnya tidak meletakkan sebarang terma dan syarat bagi apa-apa jua perundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan krisis politik di Perak. "Suruh kita jangan letak syarat sebenarnya adalah satu syarat, iaitu syarat yang tidak waras," kata beliau.
Mohamad berkata, orang gila pun tidak berani melakukan apa yang dikehendaki Najib itu.
"Orang berunding kerana dia ada sesuatu yang dikehendaki atau ingin dipertahankan. Apa yang dikehendaki atau ingin dipertahankan itulah yang menjadi syaratnya.
"Kalau terkam meja perundingan tanpa syarat, itu bukan berunding. Itu serah tengkuk untuk disembelih namanya. Orang gila pun tak berani serah tengkuk untuk disembelih," tegas beliau.
Ditanya mengenai penyelesaian krisis di Perak, Naib Presiden PAS itu berkata, satu-satunya jalan penyelesaian ialah dengan mengadakan semula pilihan raya di negeri itu bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan yang mereka mahu. Mohamad seterusnya mengecam kenyataan Najib yang membayangkan ketidaksediaannya mengadakan pilihan raya baru di negeri itu.
"Najib lebih suka budak-budaknya yang gila kuasa merempit dengan kuasa yang melanggar undang-undang di Perak.
"(Tun) Dr Mahathir (Mohamad) kata pengambilalihan kuasa oleh BN di Perak bertentangan dengan undang-undang. Maknanya apa sahaja yang lahir dari pengambilalihan kuasa yang bertentangan dengan undang-undang itu adalah bertentangan dengan undang-undang juga.
"Tengku Razaleigh (Hamzah) pula kata kerajaan yang diketuai (Dato' Seri Dr) Zambry (Abdul Kadir) adalah haram sejak dari awal lagi dan kesemua keputusan dan kontrak yang dibuat oleh kerajaan itu tidak sah di sisi undang-undang," katanya.
Mengambilkira pandangan-pandangan itu, Mohamad menyeru rakyat "memberikan isyarat yang lebih jelas menurut lunas undang-undang negara ini untuk menghentikan kedegilan mat-mat rempit gila kuasa itu dari terus merempit dengan kuasa haram mereka".
"Selagi mat-mat rempit gila kuasa itu terus merempit dengan kuasa haram mereka, rakyat Perak khususnya patut mempertimbangkan tindakan menurut lunas undang-undang negara ini contohnya terus memakai baju hitam sebagai tanda bantahan terhadap apa yang disebut oleh Tengku Razaleigh sebagai kerajaan haram Perak itu," katanya.
3 comments:
come on rakyat Perak.Bangkit!!!Tunjukkan pd umno/bn yg rakyat Perak bukan boleh diperbodohkan.
jom rakyat Perak!!!kita buangkan umno/bn dalam laut jd tukun.bleh jd lubok mb haram mancing!!!
Percayakah rakyat Perak akan bangkit suatu hari nanti, Melayu memang suka memendam rasa tapi kalau dah meletop.. habislah
Post a Comment