KUALA LUMPUR, 16 April (Harakah) - Bukan mencemuh apatah lagi menghina bukan Islam yang mengungkap ayat-ayat Quran malah wajarnya bersyukur dan memberi galakan untuk mereka mendekati dan memahami Islam.
Demikian kata pendakwah bebas Dr. Azhar Yaakob, sambil mengulas bahawa sudah pasti orang bukan Islam turut memahami serta menjaga sensitiviti umat Islam dengan mengkaji serta berlatih terlebih dahulu sebelum mengungkap ayat-ayat Quran termasuk mengetahui maksudnya supaya ianya tidak tersasar.
"Lainlah kalau mereka menghina, mempermainkan ayat Quran ataupun salah tafsir...itu kita tentang. Kalau nak ikut salah sebutan, ramai termasuk orang Islam sendiri banyak silap. Itu proses belajar, yang penting mereka ungkap untuk menceritakan bahawa ayat Quran suruh manusia berlaku adil.
"Pada saya mereka tidak salah, malah kita kena beri galakan dan tunjuk ajar pada mereka untuk mengenali Islam dengan lebih baik lagi, bukan mencemuh atau melarang membaca ayat-ayat Quran yang menjadi pentunjuk untuk umat manusia," kata Azhar lagi.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab kuliah agama yang diadakan di pejabat Harakah tengah hari tadi yang merupakan rutin setiap hari Khamis untuk kakitangan dan warga kerja Harakah.
Dalam kuliah selama satu jam itu, Azhar yang berkelulusan Ijazah Bahasa daripada Jordan serta Kedoktoran di bidang dakwah, turut menjelaskan kaedah dan sejarah dakwah untuk mendekati orang bukan Islam memahami agama Allah itu, yang sebelum ini dipandang negatif seperti ekstremis, fanatik, penggganas dan aneka label lagi.
Katanya, peristiwa 11 September 'World Trade Centre' itu, telah membuka mata masyarakat dunia khususnya bukan Islam untuk menkaji adakah benar propaganda bahawa Islam dan ayat-ayat Quran mengarahkan umat Islam melakukan keganasan.
Berpunca daripada itu, akhirnya di satu ketika, tanpa diduga indeks pembelian naskah al-Quran naik mendadak sekaligus ramai orang bukan Islam memeluk agama itu, kerana telah mendapati propoganda itu adalah sebaliknya dan meyakini kebenaran ayat-ayat Quran, katanya.
Menyambung isu ungkapan ayat al-Quran itu, kata Azhar sama ada hati seseorang itu ikhlas atau mempunyai niat lain, Azhar berkata itu persoalan dan urusan Allah SWT yang tentukan dan umat Islam wajar mengambil kira apa yang dilakukan secara zahir yang memberi kebaikan kepada semua pihak.
"Kalau salah sebut, perbetul. Kalau hina, salah terjemah atau baca terbalik ke, kita tentang tetapi ini tidak.
"Kita sepatutnya mendoakan supaya sedikit demi sedikit terbuka pintu hati mereka dan bersyukur sebab perjuangan dakwah memperkenalkan Islam telah berjaya sehingga memikat hati orang bukan Islam untuk mengetahui maksud dan ayat-ayat Quran apatah lagi mengungkapnya," katanya.
Ketika menjawab satu soalan berhubung hukum orang bukan Islam menghadiri kuliah atau majlis agama di masjid, beliau menjelaskan bahawa sejarah Rasullullah s.a.w. membuktikan bahawa betapa ramai orang bukan Islam hadir di kuliah dan bersoal jawab dengan Nabi untuk mendalami hal Islam.
"Sudah banyak peristiwa orang bukan Islam membaca al-Quran untuk mendalami Islam dan ianya bukan pelik dan menghinakan. Kita tidak boleh kecam atau sekat mereka sebab itu bukan kaedah dakwah yang betul malah mengelirukan. Bagaimana nak mendekati jika kita awal-awal lagi sekat mereka?
"Kuliah Rasulullah sentiasa dihadiri oleh orang bukan Islam untuk bersoal jawab dan ini mesti kita galakkan sekarang supaya ilmu dan penjelasan tentang Islam difahami oleh semua pihak tanpa kira batasan agama," katanya yang mengakhiri kuliah kira-kira jam 1.30 petang tadi. - azm/mks._
4.16.2009
Bersyukurlah, hidayah Islam sampai ke bukan Islam
Tuan Rumah;Takbir ! Allahuakhbar ! Alhamdullilah...
0 comments:
Post a Comment