4.30.2009

Mengapa culas membayar Cukai Pendapatan, hari terakhir....

. 4.30.2009


Nak tahu 26 cara elakkan pembayaran cukai pendapatan, sila klik sini [Elak Cukai]. Kaunter LHDN akan dilanjutkan di [sini].

Artikel ini datangnya dari Saudara Mohd Lutfi Othman.

30 April, Khamis adalah hari terakhir menyerahkan borang taksiran cukai pendapatan 2008 dan kemudiannya membayar sejumlah wang selepas pengiraan tertentu kepada negara. Melalui media, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri memberi penerangan secukupnya, termasuk iklan TV, tentang keperluan setiap warganegara yang layak membayar cukai pendapatan untuk berbuat demikian tepat pada masanya.

Denda tidak serah borang

Saya sendiri pernah didenda ekoran tidak prihatin untuk mengisi borang taksiran kerana merasakan belum layak membayar cukai. Sehubungan itu, banyak juga wang yang terpaksa dilunasi, walaupun dibenarkan secara berjadual, hanya kerana kecuaian menyerahkan borang taksiran.

Walaupun diuar-uarkan wang pembayar cukai merupakan antara hasil terbesar pendapatan negara, dan akan dibelanjakan untuk pembangunan bagi kesejahteraan semua, namun realitinya, hasil titik peluh rakyat itu gagal diuruskan dengan berhemat dan beramanah.

Bayangkan, bagaimana sakit hatinya pembayar cukai - yang sebahagiannya terpaksa mengikat perut untuk menjelaskan tepat pada masanya - apabila melihat atau mengetahui dana awam dibazirkan untuk tujuan-tujuan tidak berfaedah, malah lebih teruk lagi seolah-olah diagihkan sesama kroni bagaikan sekumpulan penyamun membahagikan wang rompakan.



Rasuah, makan suap, tumbuk rusuk dan apa jua istilah yang semaksud dengannya seperti tidak dapat disekat lagi walaupun BPR sudah bertukar menjadi SPRM, perdana menteri beralih tangan sambil menjanjikan usaha memerangi salahguna kuasa akan dipergiatkan sampai ke lubang cacing.

Mungkin sebab itu, bertambah ramai masyarakat kelas menengah, yang tentunya terdiri daripada pembayar cukai, tidak dapat lagi menyembunyikan rasa amarah terhadap pemerintah apabila wang poket mereka bagai dirompak di tengah jalan pada siang hari. Jalan mudah bertindak, seperti pernah dinasihati Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri, adalah dengan menggunakan peti undi semasa hari pilihan raya.

Dana awam dirompak

Sepanjang 20 tahun menjadi wartawan, saya melihat sendiri dana awam disalahgunakan secara sewenang-wenangnya, dengan jumlah yang cukup besar. Melalui prosedur yang sah, wang pembayar cukai yang dicurahkan kepada projek-projek pembangunan 'dihanguskan' tanpa segan silu.

Nilai projek, misalnya membekal dan memasang paip air di Selangor, yang sepatutnya tidak melebihi RM40 juta, dengan mudah ditingkatkan kosnya menghampiri RM100 juta. Kos jalan merentasi sawah di Tanjong Karang - yang tidak diketahui mengapa ia perlu dibina, dan diberikan kepada kontraktor yang disenarai-hitamkan - bernilai lebih RM93 juta sedangkan taksiran sebenar sepatutnya tidak melebihi RM50 juta pun.

Begitu juga dengan projek mengecat dan mengindahkan sebuah sekolah, yang subkontraktornya hanya diperuntukan RM120,000 tetapi nilai sebenar melebihi RM200,000. Saya tidak bercakap tentang sebuah sekolah tetapi ia melibatkan ratusan sekolah di seluruh negara. Projek membina sebuah istana, kos awalnya melebihi RM1,100 juta tetapi selepas didedahkan oleh Harakah, boleh pula diturunkan kepada sekitar RM600 juta.

Laporan Ketua Audit

Kita juga belum lupa Laporan Ketua Audit Negara 2006, antara lain mendedahkan bagaimana harga set screwdriver boleh menjadi RM224.94 sedangkan harga pasaran hanya RM40, harga kamera digital (Kodak, DC4800, 3.1 Megapixel) melonjak kepada RM8,254.29 (harga pasaran RM2,990), set pasu plastik (3 saiz 8 inci, 6 inci dan 4 inci) RM42.80 (harga pasaran RM5.20), settee 6 seater (jenis PVC) RM9,075 (harga pasaran RM1,500) dan 2 tonne jack RM5,741.69 (harga pasaran RM50).

Belum lagi diambil kira kos membina enam kapal peronda Tentera Laut Diraja Malaysia, ketika Dato' Seri Najib Menteri Pertahanan yang pada awalnya bernilai RM5.35 bilion, ditambah kepada RM6.75 bilion tanpa sebarang justifikasi. Audit tidak dapat mengesahkan 14 bayaran kemajuan RM943.46 juta kepada kontraktor disebabkan baucer bayaran dan dokumen sokongan telah hilang daripada simpanan Kementerian Pertahanan. Kontraktor yang dipilih juga didapati tidak layak!

Rasanya tidak perlu kita dibebankan dengan lebih banyak fakta. Ia sudah cukup untuk membuktikan wang pembayar cukai tidak diuruskan dengan cermat, sebaliknya dieksploit untuk memperkayakan diri dan suku-sakat. Hatta wang yang diguna untuk kemudahan awam seperti sekolah, hospital, jalan raya juga dibazirkan dengan cara yang langsung tidak bertanggungjawab. Justeru, bila tiba waktu membayar cukai, ia terpaksa dilunasi dengan begitu berat hati.

Perlunya media bebas

Oleh itu, saya sentiasa menekankan agar media kita bebas untuk melaporkan segala kepincangan kerajaan terutama dalam menguruskan dana awam. Agensi pencegah rasuah mestidiperkasa dan bergerak independen tanpa kongkongan pemerintah, khususnya Perdana Menteri. Undang-undang antikorupsi harus mampu mencegah amalan rasuah yang kini semakin sofistikated. Penubuhan Ombudsman yang menyiasat pengaduan awam harus disegerakan.

Ketua Audit Negara pula mesti dilengkapkan dengan kemudahan yang mencukupi dan sumber kewangan bebas agar ia tidak menjadi seperti "pencuri memilih anjing penjaga". Jawatan itu mesti disandang oleh tokoh berintegriti tinggi dan bertanggungjawab dengan Parlimen. Selain itu, pendedahan harus disusuli tindakan perlu termasuk membawa ke muka pengadilan. Barulah nanti rakyat ikhlas membayar cukai ... _


Jika gentar pada risiko..usah bicara erti perjuangan....

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

 

© Copyright 2007-2008. Nekadislam.Blogspot.Com. All rightsreserved | Nekadislam.Blogspot.Com is proudly powered by Blogger.com | Template by o-om.com